
TAWAU: Polis menahan dua remaja lelaki warga asing yang masing-masing berumur 12 dan 17 tahun selepas disyaki mencuri wayar elektrik sekitar jam 4 petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika sedang membawa satu karung guni berisi wayar elektrik di kawasan tepi Jalan Taman Home Luck, Jalan Kuhara.
Menurutnya, semasa pemeriksaan, kedua-dua suspek gagal memberikan penjelasan mengenai sejumlah wayar elektrik yang mereka bawa.
“Semasa pemeriksaan lanjut, mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Jasmin berkata, suspek ditahan bersama barang rampasan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 22A (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan juga di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, polis masih meneruskan siasatan kes tersebut, termasuk mengenalpasti sumber wayar tersebut.
Beliau turut menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan kecurian infrastruktur awam bagi mengelakkan kerugian kepada pemilik premis serta risiko keselamatan di tempat itu.

