Dua pemandu maut di Sandakan, Semporna

27 Mar 2025 • 10:36 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Winnie Kasmir, Azmie Lim

SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Batu 33, Jalan Beluran-Sandakan, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah ACP Ashmon Bajah berkata, mangsa yang memandu sendirian sebuah Perodua Kancil dari Kota Kinabalu menuju ke Sandakan dalam insiden sekitar jam 6.20 pagi itu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang tidak dikenalpasti dari arah bertentangan telah memasuki laluannya untuk memotong kenderaan lain.

“Bagi mengelak pertembungan, mangsa cuba mengalih kenderaannya ke bahu kiri jalan tetapi melanggar sebuah SUV jenis Mitsubishi ASX yang sedang berhenti di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media. Akibat perlanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kereta mangsa remuk di Sandakan.

Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kenderaan yang dipercayai terlibat dalam insiden ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Di SEMPORNA, seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kampung Kubang Baru, di sini, Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Madzlan Sarman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan kejadian itu pada jam 2.20 petang.

Tujuh anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian bersama dua jentera.

“Sebaik tiba, pasukan melaporkan kejadian itu melibatkan dua pacuan empat roda (4WD) dan sebuah kereta Proton Gen 2.

“Pemandu Gen 2 tersepit di dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya, menambah kedua-dua pemandu 4WD tidak cedera.

Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, sementara operasi ditamatkan pada jam 3.10 petang selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di tempat kejadian.