
BUTTERWORTH : Empat sekeluarga terselamat selepas dua unit rumah berkembar dua tingkat di Jalan 1, Kampung Hujung Batu di sini terbakar dalam kejadian awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.27 tengah malam itu, kebakaran melibatkan dua unit rumah dengan salah satu bahagian rumah turut dijadikan premis kedai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.27 tengah malam sebelum jentera tiba di lokasi empat minit kemudian.
Menurutnya, maklumat awal mendapati kesemua empat penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan keluar sebelum ketibaan pasukan bomba.
”Mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 64 tahun, dua wanita masing-masing berusia 33 dan 30 tahun serta seorang remaja lelaki berusia 14 tahun. Kesemua mangsa dilaporkan selamat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan struktur bangunan yang terlibat.
”Kebakaran turut melibatkan dua motosikal jenis Honda EX5 yang masing-masing mengalami kemusnahan dianggarkan 60 peratus,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.59 tengah malam sebelum operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada pukul 1.43 pagi.-UTUSAN
The post Dua rumah hangus, empat termasuk warga emas hilang tempat tinggal appeared first on Utusan Malaysia.






