
Dua Rumah Terbakar, Tujuh Penghuni Termasuk Warga Emas Selamat
Seramai tujuh penghuni termasuk seorang lelaki warga emas selamat dalam kebakaran yang melibatkan dua buah rumah di Kampung Sungai Sikamat pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 7.48 pagi.
“Seramai 27 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, BBP Seri Kembangan dan BBP Bangi bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh enam kilometer,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Ahmad Mukhlis, setibanya di lokasi, Komander Operasi Kanan Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jalizad Jalil melaporkan bahawa kebakaran tersebut melibatkan dua buah rumah.
“Ketika kebakaran, terdapat lima penghuni dalam rumah pertama jenis kelas A musnah 80 peratus.
“Manakala, dua penghuni termasuk seorang lelaki warga emas dalam rumah kedua jenis kelas C yang musnah 100 peratus,” katanya.
Tambah beliau, kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
The post Dua Rumah Terbakar, Tujuh Penghuni Termasuk Warga Emas Selamat appeared first on Siakap Keli.

