Dua sahabat aktif samun kedai serbaneka diberkas

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 2:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun kedai serbaneka serta kes melarikan kenderaan.

KUALA LUMPUR – Tindakan dua sahabat yang aktif melakukan jenayah samun kedai serbaneka akhirnya membawa padah apabila mereka diberkas polis dalam operasi berasingan di sekitar Kajang dan Cheras, baru-baru ini.

Kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 26 tahun itu ditahan susulan siasatan kes samun di sebuah kedai serbaneka di Taman Mutiara di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 4 pagi pada 22 Februari lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melancarkan operasi bagi mengesan suspek.

"Operasi itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 26 tahun di dua lokasi berasingan sekitar Kajang dan Cheras.

"Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika melakukan jenayah samun tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil soal siasat lanjut terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun kedai serbaneka serta kes melarikan kenderaan.

Katanya, kegiatan itu dikesan berlaku di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

"Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, polis percaya telah berjaya menyelesaikan beberapa kes samun kedai serbaneka serta kes melarikan kenderaan yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan pertuduhan dalam masa terdekat.