Polis lengkapkan kertas siasatan kes pegawai, anggota samun berkumpulan

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian mengenai dua pegawai kanan dan anggota polis antara enam diberkas kes samun berkumpulan.

SHAH ALAM - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan enam lelaki termasuk tiga penjawat awam yang ditahan berhubung kes samun berkumpulan di Gombak, Februari lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya dalam tindakan mengemas kini kertas siasatan bagi melengkapkan siasatan.

“Kita dalam tindakan kemas kini (kertas siasatan).

"Apabila ia dilengkapkan, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan Shazeli dilaporkan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan enam lelaki tempatan bermula 2 Mac.

Daripada jumlah itu, tiga merupakan penjawat awam iaitu dua pegawai kanan serta seorang anggota polis dan selebihnya ialah orang awam di mana salah seorang memiliki 20 rekod lampau.

Tangkapan berkaitan satu kejadian samun berkumpulan yang berlaku pada 27 Februari lalu di Gombak.

Susulan itu, kesemua suspek direman sehingga 8 Mac.

Polis turut merampas wang tunai RM1,498, pelbagai barang kes termasuk Mercedes Benz, Cherry Omoda 5, Van Hiace serta tiga helai vest bertulis polis selain dua ketul emas dan 13 telefon bimbit.