Dua sindiket rokok, vape haram tumpas

6 Aug 2026 • 5:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua sindiket rokok, vape haram tumpas

KUALA LUMPUR: Kegiatan dua sindiket mendalangi kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dan pengedaran vape haram bernilai lebih RM12.7 juta tumpas menerusi penguatkuasaan Op Taring Alpha 3 dan Op Taring Alpha 1 yang dilaksanakan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi dijalankan pada 28 Julai lalu di sebuah premis di Batu Caves, Gombak, yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dan pengedaran produk vape ke sekitar Lembah Klang.

Katanya hasil serbuan, lima individu diperiksa dan polis merampas sebanyak 131,036 kotak produk vape, 4,900 botol cecair vape serta 25,510 peranti rokok elektronik pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM9.4 juta.

“Siasatan mendapati produk terbabit dipercayai melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya pada sidang akbar di Ibu Pejabat Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusri berkata, sebuah premis di Puchong turut diserbu pada 27 Julai lalu menerusi Op Taring Alpha 1 yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan, penjualan dan pengedaran rokok tidak bercukai.

Jelasnya, tiga lelaki tempatan yang dipercayai menguruskan operasi sindiket itu berjaya diberkas selain rampasan 166 karton mengandungi 1.66 juta batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.306 juta dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, WCB/PSK terus memperhebat operasi berasaskan risikan bagi membanteras penyeludupan barang larangan dan jenayah rentas sempadan sepanjang tahun ini.

Katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu, sebanyak 236 kes direkodkan dengan 411 individu ditahan, manakala nilai keseluruhan rampasan mencecah RM280.4 juta.

Dalam tempoh sama, Op Taring Alpha 3 merekodkan 11 kes dengan lima tangkapan serta rampasan bernilai RM9.5 juta manakala Op Taring Alpha 1 merekodkan lima kes dengan 10 tangkapan dan rampasan berjumlah RM6.1 juta.-UTUSAN

The post Dua sindiket rokok, vape haram tumpas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved