JIM Tumpas Sindiket PLKS Haram, Lapan Warga Myanmar Ditahan

3 Aug 2026 • 10:51 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

JIM Tumpas Sindiket PLKS Haram, Lapan Warga Myanmar Ditahan

JIM Tumpas Sindiket PLKS Haram, Lapan Warga Myanmar Ditahan

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai menawarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah menerusi sistem pengurusan pekerja asing yang diceroboh selepas menahan lapan warga Myanmar dalam satu operasi khas di Bandar Mahkota Cheras, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 3.50 petang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Menurut beliau, operasi tersebut merupakan susulan kepada tindakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Crack yang dilaksanakan pada 28 Julai lalu.

Katanya, hasil serbuan di sebuah premis kediaman membawa kepada penahanan seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai berperanan sebagai ejen haram sindiket berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai kaitan dengan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai dalang utama sindiket dan telah ditahan SPRM dalam Op Crack bersama JIM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga:

Zakaria berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki dan enam wanita warga Myanmar berusia antara 29 hingga 56 tahun yang dipercayai sedang menunggu untuk dibekalkan kepada majikan.

Menurut beliau, semakan mendapati wanita yang bertindak sebagai ejen haram itu memiliki PLKS bagi sektor perkhidmatan, manakala empat wanita lain didapati tinggal lebih masa.

“Seorang lelaki dan dua lagi wanita pula tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pasukan operasi turut menyita 16 pasport Myanmar, salinan PLKS yang disyaki palsu, dokumen berkaitan pembekalan pekerja serta sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang dipercayai digunakan oleh sindiket.

Katanya, sindiket itu menggunakan modus operandi menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS yang dipercayai dikeluarkan secara tidak sah menerusi sistem pengurusan pekerja asing JIM yang telah diceroboh.

Menurut beliau, PLKS tersebut ditawarkan kepada warga asing di sekitar Lembah Klang yang tidak mempunyai pas sah atau telah tinggal lebih masa sebelum mereka dibekalkan kepada majikan yang memerlukan tenaga kerja.

“Sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja dan dipercayai aktif sejak awal tahun ini,” katanya.

Zakaria berkata, wanita yang dipercayai bertindak sebagai ejen haram disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Beliau berkata, empat wanita warga Myanmar pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki dan dua lagi wanita disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya bagi tindakan lanjut.

“JIM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh untuk mengenal pasti rangkaian sindiket dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang negara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved