
Kota Kinabalu: Dua subjek yang ditawarkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tersenarai dalam kelompok terbaik dunia menerusi penarafan QS World University Rankings by Subject 2025, yang diumumkan baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, subjek Kejuruteraan Petroleum berada di kedudukan antara 101-150 terbaik dunia, suatu peningkatan berbanding di kedudukan 151-160 pada 2023.
Satu lagi subjek, Pertanian dan Perhutanan, terus mengekalkan kedudukan seperti tahun sebelumnya di kelompok 251-300 terbaik dunia.
Kasim berkongsi perkara tersebut dalam Majlis Sungkai Perdana UMS Bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Dr Musa Aman di Masjid UMS baru-baru ini.
Tambah beliau, pencapaian kedua-dua subjek tersebut menaikkan lagi nama UMS di peringkat antarabangsa, dan UMS akan terus menyampaikan perkhabaran baik menerusi pelbagai pencapaian cemerlang seumpama itu.
Pada majlis tersebut, Kasim menerima replika cek berjumlah RM776,634.90 daripada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) yang disampaikan oleh wakil Muis, Wan Mohd Zakri Wan Yaacob sebagai simbolik penyerahan agihan zakat harta kepada UMS.
Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Tun Musa, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Agihan kutipan zakat harta bagi 2024 itu adalah hasil Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai pada 2022 bagi membantu meringankan kewangan golongan asnaf dalam kalangan pelajar dan kakitangan UMS.
Terdahulu, Tun Musa turut berkesempatan memotong reben sebagai simbolik perasmian fasiliti Orang Kurang Upaya (OKU) untuk kemudahan golongan tersebut di Masjid UMS, serta menyampaikan bantuan zakat kepada lapan pelajar UMS.




