
WASHINGTON: Seorang banduan yang dihukum mati di Tennessee, Christa Pike dikejarkan ke hospital selepas cubaan melaksanakan hukuman tersebut menggunakan dua suntikan maut gagal, menurut peguamnya.
Pasukan guaman Pike memfailkan permohonan kecemasan untuk menghentikan pelaksanaan hukuman mati ketika ia sedang dijalankan, selepas dia dilihat sudah tidak sedarkan diri tetapi masih mempunyai denyutan jantung dan kedengaran berdengkur.
Seorang daripada peguamnya memberitahu BBC, Pike, 50, kini diberikan rawatan untuk menyelamatkan nyawanya di hospital selepas dua picagari pentobarbital diberikan.
Pike dijatuhi hukuman mati pada 1996 kerana membunuh Colleen Slemmer, 19. Pelaksanaan hukuman matinya menjadi subjek pertikaian undang-undang pada saat-saat akhir.
Pertikaian itu berakhir apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membenarkan suntikan maut diteruskan.
Pike berusia 18 tahun ketika dia dan teman lelakinya ketika itu, Tadaryl Shipp memukul, menyeksa dan membunuh Slemmer, 19, yang mereka kenali ketika berada di sebuah kem latihan pekerjaan untuk remaja bermasalah.
Ibu Slemmer, May Martinez, antara pihak yang mahu hukuman mati itu dilaksanakan.
Cubaan melaksanakan hukuman mati itu berlaku di Riverbend Maximum Security Institution di Nashville kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan).
Pike diberikan dua dos bahan kimia pentobarbital, manakala langsir di bilik saksi ditutup sebanyak dua kali, menurut agensi berita AP. Media kemudian diminta meninggalkan lokasi, menurut agensi itu.
AP turut melaporkan protokol pelaksanaan hukuman mati Tennessee menetapkan satu set picagari ubat kedua perlu disediakan sekiranya individu yang dihukum mati tidak meninggal dunia selepas set pertama diberikan.
Bagaimanapun, protokol itu tidak menjelaskan perkara yang perlu dilakukan sekiranya individu berkenaan masih hidup selepas set kedua diberikan.
Beberapa jam kemudian, Gabenor Bill Lee dalam satu kenyataan berkata, beliau menghentikan pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan Tennessee bagi baki tahun ini dan mengarahkan semakan menyeluruh oleh pihak ketiga bagi menentukan dengan tepat apa yang berlaku.
Pike dijadualkan menjadi wanita pertama yang dihukum mati di Tennessee dalam tempoh 200 tahun selepas Mahkamah Agung pada Rabu memutuskan hukuman tersebut boleh diteruskan.
Jabatan Penjara Tennessee berkata, pihaknya mematuhi setiap langkah dalam protokol pelaksanaan hukuman mati yang sah dan ditetapkan negeri, serta diluluskan Pejabat Peguam Negara.
The post Dua suntikan maut gagal, banduan hukuman mati dikejarkan ke hospital appeared first on Utusan Malaysia.




