Dua tahun beroperasi, stor pengumpulan petrol untuk diseludup ke Thailand diserbu

5 Jun 2026 • 10:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua tahun beroperasi, stor pengumpulan petrol untuk diseludup ke Thailand diserbu
Kegiatan sebuah stor haram yang menjadi pusat pengumpulan petrol sebelum dijual ke Thailand sejak dua tahun lalu terbongkar apabila enam individu ditahan dalam serbuan di Pengkalan Kubor, Tumpat pada Khamis. Foto:PGA

TUMPAT - Kegiatan sebuah stor haram yang menjadi pusat pengumpulan petrol sebelum dijual ke Thailand sejak dua tahun lalu terbongkar apabila enam individu ditahan dalam serbuan di Pengkalan Kubor di sini pada Khamis.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa bersama anggota Pos PK 5 Kompeni C dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Bharu itu turut membawa kepada rampasan bernilai RM104,748.60 membabitkan petrol, wang tunai serta empat kenderaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan petrol di sebuah stor di pangkalan haram Tualang, Pengkalan Kubor.

Menurut beliau, pemerhatian selama kira-kira 30 minit mendapati beberapa kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero memasuki stor berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum pasukan serbuan bertindak menyerbu premis itu.

"Ketika serbuan, anggota mendapati tiga lelaki sedang menyedut petrol dari tangki kenderaan ke dalam tong plastik, manakala seorang wanita dan dua lelaki lain berada di dalam serta sekitar stor tersebut.

"Hasil pemeriksaan menemukan 255 liter petrol, tiga hos getah, sebuah pam angin, wang tunai RM3,650 dan empat kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati empat suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun berperanan membeli petrol dari stesen minyak sekitar Tumpat sebelum menjualnya kepada seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang dipercayai menjadi pembeli utama di stor berkenaan.

Menurutnya, suspek terbabit dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak dua tahun lalu dengan stor berkenaan disewa pada kadar RM400 sebulan.

"Suspek membeli petrol pada harga RM4.20 seliter sebelum menjualnya semula ke Thailand. Dalam sehari, kegiatan itu dipercayai mampu melibatkan sehingga 60 tong petrol," katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, seorang lagi lelaki berusia 51 tahun yang ditahan dipercayai bekerja di stor berkenaan dengan menerima upah RM50 sehari.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua suspek serta barang kes telah diserahkan kepada KPDN Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan PGA akan terus memperhebatkan risikan dan pemantauan di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan bersubsidi yang menjejaskan ekonomi negara.