KUALA LUMPUR - Kegiatan memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram di dua premis sekitar Selangor terbongkar selepas diserbu dalam Op Hazard yang dilaksanakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman pada Khamis.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi tersebut hasil risikan pihaknya bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Jabatan Alam Sekitar Sepang.
"Serbuan dilakukan secara serentak di dua lokasi melibatkan stor dan premis aktiviti pemprosesan e-waste.
“Hasil operasi, seramai 24 lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Zaki berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 347,000 kilogram e-waste yang telah dileraikan, lima unit kompresor, satu unit sistem pengumpul habuk, empat tong gas, mesin kitar semula air, dua unit ketuhar serta cerobong asap.
"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.256 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 38(1)(a) akta sama," katanya.
Beliau berkata, Majlis Perbandaran Kuala Langat turut mengeluarkan kompaun RM1,000 dan notis pemberhentian perniagaan terhadap premis terbabit.
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini, pihaknya telah melaksanakan 158 serbuan di seluruh negara.melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barang tidak berkastam, ketirisan barang kawalan, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.
“Sepanjang tempoh itu, seramai 335 individu berjaya ditahan hasil operasi dijalankan,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah seumpama itu.






