Dua TECNO AI Glasses Diperkenalkan Bagi Bersaing Dengan Meta Ray-Ban

TechnologyDigital
5 Mar 2025 • 12:12 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Di acara MWC 2025 hari ini, TECNO telah memperkenalkan siri TECNO AI Glasses yang setakat ini mempunyai dua model. Kaca mata TECNO baharu ini dikatakan adalah pesaing dan juga alternatif kepada Meta Ray-Ban. Adakah ini kaca mata yang semua idamkan atau masih gimik oleh pengeluar yang bermain kejar-kejar di era AI ini?

image is not available

TECNO AI Glasses Pro

Ini adalah kaca mata AI mercu mereka, di mana semua struktur dan rekaan dalaman kaca mata telah direka sendiri. Misalnya, kamera 50MP diletakkan di bahagian hidung berbanding pada bingkai di sisi mata. Keseluruhan kaca mata ini adalah lebih ringan, tetapi boleh memuatkan dua butang fizikal dan pad sesentuh di sisi pada tangkai. TECNO AI Glasses Pro dijana dengan cip pemprosesan AstraSight 6nm.

image is not available

Tidak lupa juga yang speaker kaca mata ini adalah lebih baik, kuat dan lantang dengan pemandu audio bersaiz hampir 2sm. Menariknya, untuk ciri Ai – TECNO menyertakan model TECNO AI yang dikatakan telah menggabungkan pelbagai model bahasa raya di dalamnya. TECNO menjelaskan mereka memuatkan DeepSeek, Gemini dan ChatGPT – namun model spesifik tidak didedahkan. TECNO AI Glasses Pro turut tidak memerlukan sebarang langganan membuatkan saya rasakan – penggunaan AI ini memerlukan akaun dengan langganan aktif.

image is not available

Kaca mata AI ini juga adalah sebahagian daripada ekosistem TECNO AI yang membenarkan pengguna menggunakan kaca mata ini bersama telefon, tablet, dan laptop TECNO. Apa yang membuatkan kaca mata ini unik adalah ia mempunyai pancaran paparan berwarna hijau neon yang terang dan sangat jelas. TECNO menggunakan teknologi skrin mikroLED, sama seperti kaca mata Meizu MYVU dan kaca mata Oppo Air Glasses. Cuma, lensa padanya direka sendiri dengan teknologi panduan gelombang yang ringan dan tidak menyakitkan mata pengguna.

TECNO AI Glasses

Ini pula adalah kaca mata AI asas mereka. Ia menawarkan penggunaan seakan Meta Ray-Ban di mana ia tiada sebarang skrin. Anggap sahaja ia adalah seakan TWS dalam format kaca mata. Menjadikan penggunaan TECNO AI Glasses ini lebih menarik berbanding Meta adalah, sokongan AI yang lebih fleksibel. Misalnya, kaca mata ini terus sedia menyokong ciri penterjemahan secara masa nyata yang cukup stabil. Meta memerlukan pengguna daftar program akses awal.

image is not available

Kamera 50MP untuk rakaman video dan mengambil gambar disertakan pada sisi kaca mata. Speaker stereo, butang fizikal, pad sesentuh dan bateri sepanjang hari dapat dinikmati dengan kaca mata ini. Kedua-dua kaca mata ini mempunyai spesifikasi lebih kurang sama dengan membezakannya hanyalah kedudukan kamera dan Pro yang mempunyai skrin. Teknologi bateri, AI dan speaker semuanya adalah sama.

image is not available

TECNO turut tidak segan membandingkan kaca mata mereka dengan Meta Ray-Ban. Mereka yakin ia adalah dua kaca mata terhebat pernah dihasilkan di dunia. TECNO tidak mendedahkan bila mereka akan menjual kaca mata ini. Namun, jika pengguna di Malaysia menyuarakan minat untuk membelinya secara rasmi – TECNO Malaysia akan mempertimbangkan untuk membawa masuk kaca mata ini.

image is not available