Dua wanita ditahan bantu siasatan kes jumpa mayat bayi di pusat perlindungan

13 Jun 2026 • 4:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua wanita ditahan bantu siasatan kes jumpa mayat bayi di pusat perlindungan
Kedua-dua wanita terbabit ditahan susulan laporan diterima pihak polis pada 8.10 pagi hari sama. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua wanita bagi membantu siasatan berkaitan penemuan mayat bayi di hadapan sebuah pusat perlindungan bayi di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kedua-duanya yang berusia 20-an ditahan susulan laporan diterima pihak polis pada 8.10 pagi hari sama.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian bayi berkenaan adalah disebabkan keguguran dan dianggarkan telah meninggal dunia melebihi 24 jam.

"Bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, polis telah menahan kedua-dua suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau selain turut merampas beberapa barang kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, suspek pertama direman dua hari manakala suspek kedua direman tiga hari hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara sulit.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved