
KOTA BELUD: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menahan dua lelaki tempatan serta merampas enam liter air ketum dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar daerah ini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan serta penjualan air ketum yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di Kampung Pirasan, Jalan Menteri, di mana pihak polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum.
“Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan menemukan sebanyak 1.5 liter air ketum yang disyaki disimpan untuk tujuan penjualan kepada pelanggan tempatan.
“Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Kota Belud bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan Jumaat.
Beliau berkata, susulan kejayaan serbuan pertama itu, BSJND Kota Belud meneruskan operasi ke sebuah lagi lokasi di Kampung Taun Gusi.
Dalam serbuan kedua itu, seorang lagi lelaki tempatan ditahan bersama rampasan sebanyak 4.5 liter air ketum yang dipercayai diproses untuk tujuan pengedaran.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua serbuan adalah sebanyak enam liter air ketum dengan nilai anggaran RM100.
“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Shahrudin berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan penjualan dan penyalahgunaan air ketum dapat dibendung secara berkesan.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan atau menyalahi undang-undang di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, maklumat yang disalurkan orang ramai akan dirahsiakan dan tindakan segera akan diambil bagi memastikan daerah Kota Belud terus berada dalam keadaan aman serta selamat.






