Dua Wanita Maut Digilis Tren Ketika Lintas Landasan

8 May 2026 • 7:23 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Dua Wanita Maut Digilis Tren Ketika Lintas Landasan

NEW DELHI – Dua wanita maut dalam kejadian tragis selepas digilis sebuah tren ketika cuba melintas landasan di Stesen Kereta Api Bakhtiyarpur, Bihar, India, baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan itu turut dirakam kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum video terbabit tular di media sosial.

Rakaman menunjukkan kedua-dua mangsa sedang melintas landasan sambil membawa beberapa barangan sebelum cuba memanjat naik ke platform stesen.

Beberapa orang awam dilihat cuba membantu menarik mereka ke atas platform, manakala penumpang lain menjerit memberi amaran selepas menyedari sebuah kereta api sedang bergerak laju ke arah mereka.

Mangsa Gagal Diselamatkan

Bagaimanapun, kedua-dua wanita tersebut gagal menyelamatkan diri sebelum digilis di celah antara gerabak tren dan platform stesen.

Mangsa dikenal pasti sebagai Intar Devi, 62, dan anak saudaranya, Sangeeta Devi, 45.

Menurut laporan media tempatan, Intar dipercayai datang ke stesen berkenaan untuk menghantar Sangeeta pulang ke rumah sebelum tragedi itu berlaku.

Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) bersama Polis Kereta Api Kerajaan (GRP) kemudian menjalankan operasi mengumpul cebisan mayat mangsa di lokasi kejadian.

Perkhidmatan kereta api dilaporkan disambung semula kira-kira 30 minit selepas operasi selesai dijalankan.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi tindakan lanjut pihak berkuasa. – The Malaysian Update

The post Dua Wanita Maut Digilis Tren Ketika Lintas Landasan appeared first on The Malaysian Update.