
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (7 Mei), kami ada melaporkan kejadian seorang pelajar tahun lima yang didakwa terjatuh dari tingkat satu di sebuah sekolah yang terletak di Batu Berendam, Melaka.
Meskipun laporan awal menyebut ia ada kaitan dengan kes buli namun Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman kemudiannya menjelaskan insiden terbabit berpunca dari tindakan murid itu sendiri.
Difahamkan, dia terjatuh dari koridor sewaktu mahu mengambil kasut rakan yang dilemparnya ke bumbung laluan pejalan kaki.
Baca Artikel Berkaitan: [Kemaskini] Murid Tahun 5 Jatuh Dari Koridor Sekolah Selepas Cuba Ambil Kasut Rakan – Exco Melaka
Mangsa Terjatuh Selepas Pijak Bahagian Bumbung Yang Patah
Terbaharu, polis turut menafikan dakwaan wujud unsur buli dalam kejadian murid terjatuh yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 12.40 tengahari ketika waktu pertukaran kelas.
Jelas Christopher, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bertindak membaling kasut pelajar lain sehingga tersangkut pada bumbung garaj basikal.
Terangnya, murid lelaki terbabit kemudiannya cuba mengambil semula kasut rakannya yang dilemparkan itu dengan cara memanjat bumbung berkenaan.
“Semasa mangsa cuba memanjat semula ke tingkat satu bangunan sekolah, bahagian bumbung yang dipijak patah.
“Mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan,” katanya.
Mangsa Stabil, Pergelangan Kaki Kanan Alami Keretakan Kecil
Tambah Christopher, mangsa diberikan kecemasan awal oleh pihak sekolah sebelum dihantar ke Hospital Melaka.
Dia kemudiannya dipindahkan ke Putra Specialist Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Murid berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan disahkan mengalami keretakan kecil pada pergelangan kaki kanan,” katanya.
Polis Nafi Dakwaan Wujud Unsur Buli Dalam Insiden Murid Terjatuh Dari Koridor
Jelasnya lagi, hasil siasatan lanjut yang dijalankan oleh pegawai penyiasat dan pasukan siasatan jenayah, forensik serta saksi-saksi mendapati insiden terbabit berlaku akibat kemalangan sendiri.
“Mangsa turut mengesahkan tiada sebarang unsur buli, penganiayaan atau pengabaian berlaku sebelum atau semasa kejadian.”
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit
Oleh yang demikian, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat berhubung kejadian itu yang boleh menimbulkan kegusaran orang ramai serta mengganggu siasatan dan kes kini disiasat di bawa Kertas Ekuiri Polis (KEP).
Baca Artikel Berkaitan:
[Kemaskini] Murid Tahun 5 Jatuh Dari Koridor Sekolah Selepas Cuba Ambil Kasut Rakan – Exco Melaka
