Dua wanita maut tercampak, Myvi rempuh lori rosak

9 Jun 2026 • 12:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua wanita maut tercampak, Myvi rempuh lori rosak
Dua mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM). Foto tular

KUCHING - Dua wanita maut manakala seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan sebuah lori yang dipercayai mengalami kerosakan di Jambatan Batang Sadong, Simunjan pada jam 6.30 pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan dua mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut kenyataan itu, pemandu Perodua Myvi pula mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Pasukan bomba bertindak mengangkat kedua-dua mangsa ke tempat yang selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa tumpahan minyak dan serpihan kemalangan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada 9.29 pagi. - Bernama