Dua Warga Thailand Didakwa Bunuh Anggota APMM Di Perlis

5 Nov 2026 • 1:59 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Dua Warga Thailand Didakwa Bunuh Anggota APMM Di Perlis

KANGAR, 5 Nov (Bernama) -- Dua lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hujung bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Padang di sini antara 11 malam 26 Okt hingga 1.30 pagi 27 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 5 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya APMM Wirna Arifin dan Kamaliza Md Zain manakala kedua-dua tertuduh itu tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid, kedua-dua lelaki itu turut berdepan pertuduhan menyeludup sembilan migran warga Myanmar menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran.

Baca juga:

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh bagi pertuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di perairan hadapan muara Sungai Padang di sini antara 11 malam 26 Okt hingga 12.30 tengah malam 27 Okt lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan di lokasi dan masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) dibaca bersama Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Zakaria memohon tarikh sebutan baharu bagi kes imigresen itu memandangkan pihak pendakwaan masih menunggu dokumen berkaitan daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Hakim Sharifah Norazlita menetapkan 15 Dis sebagai untuk sebutan semula kes ATIPSOM dan imigresen, selain menetapkan tarikh sama bagi pelantikan jurubahasa Myanmar untuk tujuh warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 43 tahun yang didakwa atas kesalahan memasuki negara ini secara tidak sah.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap dua lelaki warga Thailand itu dan tujuh warga Myanmar terlibat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved