
TAWAU: Seorang penyelia ladang didenda RM2,000, atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda dan penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana nengambil bahagian dalam ujian kelajuan yang tidak diluluskan, bulan lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap M. Iwan Arajilul Karim, 29, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandunya digantung selama setahun.
Peruntukan itu membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama.
Ketika ditanya mahkamah mengapa dia menyertai perlumbaan haram walaupun sudah berusia 29 tahun dan sepatutnya memahami akibat perbuatannya, M. Iwan hanya menjawab: “Saya minta maaf, Yang Arif.”Mengikut pertuduhan, M. Iwan sebagai penunggang motosikal menyertai perlumbaan haram tanpa kebenaran di jalan raya berhampiran kedai Wedrink Balung, kira-kira jam 11.30 malam pada 17 Oktober 2026.
Mahkamah diberitahu anggota polis yang menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan Apas Balung mengesan tiga motosikal yang memecut dari lampu isyarat Balung menuju ke kawasan pusingan U Ladang Sungai Balung sebelum membuat pusingan U dan berpatah balik dengan kelajuan tinggi.
Anggota polis kemudian mengejar motosikal tertuduh sebelum memintas dan menahannya di tepi jalan berhampiran kedai berkenaan.
Tertuduh kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama motosikalnya untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau ASP Joan Lee memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum serta hukuman penjara setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan amaran kepada pengguna jalan raya lain yang menjadikan jalan awam sebagai litar perlumbaan haram.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi membendung kegiatan menunggang motosikal secara berbahaya khususnya di Balung yang dikenal pasti sebagai kawasan panas bagi aktiviti perlumbaan haram.
Beliau turut menyentuh kejadian maut di kawasan itu pada 30 Oktober lalu sebagai peringatan mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh aktiviti seumpama itu.






