
DUBAI – Kota raya mewah di Dubai sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila mengumumkan rancangan membina jalan pertama di dunia yang akan diturap dengan emas, sekali gus dijangka menjadi tarikan ikonik baharu buat pelancong, pembeli barangan mewah serta golongan pempengaruh media sosial dari seluruh dunia.
Menurut laporan media Britain, The Sun, pelan luar biasa itu merupakan sebahagian daripada pembangunan khas untuk industri barang kemas di bandar berkenaan yang dinamakan sebagai Daerah Emas Dubai, sebuah kawasan berkonsepkan eksklusif dan glamor yang direka bagi menghimpunkan peniaga, jenama antarabangsa, pembeli serta komuniti profesional dalam satu destinasi premium.
Projek tersebut bukan sahaja menyasarkan sektor pelancongan, malah dilihat sebagai usaha strategik untuk mengukuhkan kedudukan Dubai sebagai hab perdagangan emas global, dengan persekitaran mewah yang mampu menarik perhatian pengunjung dan pada masa sama menjadi lokasi tumpuan kandungan digital, fotografi serta promosi jenama di media sosial.
Tarikan Ikonik Baharu Industri Emas
Bagaimanapun, butiran teknikal mengenai reka bentuk, kos pembinaan dan tarikh pelaksanaan masih belum didedahkan sepenuhnya, dengan pihak berkuasa memaklumkan maklumat lanjut akan diumumkan secara berperingkat menjelang pembukaannya kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif Badan Festival dan Perdagangan Runcit di bawah Jabatan Ekonomi dan Pelancongan Dubai, Ahmed Al Khaja berkata, emas sememangnya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan identiti dan budaya bandar raya itu, sekali gus menjadikan projek berkenaan sebagai simbol kesinambungan legasi tersebut.
Beliau berkata, melalui pembangunan destinasi mercu tanda berkenaan, pihaknya bukan sahaja meraikan sejarah dan kekuatan industri emas Dubai, malah mentafsirkannya semula mengikut era moden yang dipacu kreativiti, inovasi dan elemen kelestarian.
Jika direalisasikan sepenuhnya, laluan berturap emas itu berpotensi menjadikan Emiriah Arab Bersatu negara pertama di dunia memiliki jalan seumpamanya, sekali gus menambah satu lagi rekod unik dalam senarai projek mega dan berprofil tinggi yang sinonim dengan gaya hidup mewah Dubai. – The Malaysian Update
The post Dubai Rancang Bina Jalan Berturap Emas Pertama Dunia, Tarikan Baharu ‘Level Kayangan’ Untuk Pelancong & Influencer appeared first on The Malaysian Update.




