Duda tikam rakan depan rumah di Sungai Udang didakwa

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 11:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas selesai kertas pertuduhan dibacakan pada Rabu.

MELAKA - Seorang duda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh rakannya dalam kejadian di Sungai Udang minggu lalu.

Tertuduh, Saiful Hadi Othman, 44, didakwa menyebabkan kematian Muhamad Hanafi Yusof, 25.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 11 Mac 2026 antara jam 7.58 malam hingga 8.15 malam di sebuah rumah di Jalan Mohd Akhir, Batu 12, Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif yang memohon tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa maut selepas ditikam di depan rumahnya dalam satu pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada telefon bimbit.

Difahamkan, suspek ke rumah mangsa untuk menuntut semula peranti tersebut yang sebelum ini dipinjamkan kepada mangsa selepas telefon milik mangsa rosak.

Bagaimanapun, keengganan mangsa memulangkan semula telefon bimbit tersebut dipercayai menjadi punca suspek gagal mengawal kemarahan sebelum menikam lelaki itu hingga maut.