Buruh ladang bawa sabit sebabkan kematian pelajar kolej didakwa di mahkamah

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 1:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Buruh ladang warga Indonesia, Sutiyono, 39, didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Rabu atas dua pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap dua pelajar kolej vokasional, minggu lalu.

TELUK INTAN – Seorang buruh ladang didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Rabu atas dua pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap dua pelajar kolej vokasional, minggu lalu.

Tertuduh, Sutiyono, 39, warga Indonesia, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Bagaimanapun pengakuan tidak direkodkan kerana tertuduh mempunyai masalah pendengaran.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu sebagai penunggang motosikal Honda EX5 didakwa menunggang secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Adham Faisal, 18, yang semasa kejadian menunggang motosikal Honda Vario 150cc.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Haji Abdul Rashid, Kampung Selabak dalam daerah Hilir Perak kira-kira jam 8.10 pagi pada 9 Mac 2026.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sutiyono didakwa menunggang motosikal yang sama secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Mu’ammar Ismail, 17, pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi menawarkan jaminan RM8,000 untuk kedua-dua pertuduhan selain meminta agar lesen memandu tertuduh dirampas sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili Peguam Francis Sinnappan secara pro bono memohon jaminan dikurangkan mengambil kira faktor pekerjaan tertuduh sekadar buruh ladang kelapa sawit dan perlu menanggung keluarga termasuk seorang anak yang menetap di Indonesia.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dengan salah sorang daripada penjamin merupakan majikan tertuduh.

Tarikh 28 April depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan bedah siasat serta lantikan dua jurubahasa iaitu bahasa isyarat dan bahasa Indonesia.

Terdahulu akhbar melaporkan Adham Faisal yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan maut apabila lehernya terhiris sabit berhulu panjang ketika motosikal yang dinaikinya berselisih dengan motosikal ditunggangi tertuduh.

Kejadian turut menyebabkan rakan Allahyarham yang menaiki motosikal sama mengalami kecederaan pada tangan.