“Duduk Jepun, Outfit Machang” – Selamba Pakai Pelikat Tengah Sejuk Tokyo, Netizen Pecah Perut

23 Jan 2026 • 7:58 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kalau sebut Jepun, mesti ramai bayang jaket tebal, sarung tangan, siap berlapis-lapis pakaian untuk tahan cuaca sejuk.

Namun lain pula ceritanya dengan dua jejaka asal Kelantan ini, memang rare tahap legend!

Menerusi satu video tular di TikTok akaun @bosswanblack, dua lelaki dilihat selamba berpakaian ala kampung walaupun berada di Shinjuku, Tokyo, ketika musim sejuk.

Seorang daripadanya hanya menutup badan dengan tuala dan berkain pelikat tanpa berkasut, seolah-olah baru keluar rumah untuk ke kedai runcit, bukannya berada di negara orang.

Rakannya pula sedikit “lengkap” dengan baju sejuk bersama kain pelikat, namun tetap hanya berselipar tanpa mengendahkan suhu sejuk mencucuk tulang.

Apa yang lebih mencuit hati, kedua-duanya rancak berbual dalam dialek Kelantan pekat, sampai suasana parkir perumahan di Jepun tiba-tiba terasa macam berada di Machang atau Kota Bharu.

Terdahulu, akaun sama turut memuat naik video serupa sehingga netizen berseloroh menyebut,

“Duduk Jepun, outfit Machang.”

Memang vibe kampung dibawa sekali, walau ribuan kilometer dari tanah air.

Ruangan komen penuh usikan manja, netizen terhibur

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur melihat gelagat bersahaja mereka. Ada yang berseloroh mencampur bahasa Jepun dan loghat Kelantan, “arigato gosaimah… eh guano, ore klate ko demo,” membuatkan ramai pecah ketawa.

Malah, ada juga yang membayangkan perbualan santai mereka seperti orang kampung terserempak di perantauan, siap bertanya kerja apa dibuat di sana. Tak kurang juga yang mengusik, orang Kelantan kalau jumpa kenalan memang automatik ‘garu-garu tangan’ tanda mesra.

Ada yang siap berjenaka, kalau dah jumpa ‘saem’, bolehlah perlahan-lahan cari nasi berlauk pula di Jepun. Ringkasnya, ruangan komen memang penuh dengan usikan manja dan lawak spontan.

Gelagat mereka bukan saja mencuit hati, malah membuktikan identiti kampung memang tak hilang walau di mana berada.

Bak kata netizen, pergi sejauh mana pun…

jiwa tetap Kelantan.

Kadang-kadang bukan fesyen mahal yang buat orang pandang, tapi keyakinan diri dan keaslian itu yang paling menyerlah. – The Malaysian Update

The post “Duduk Jepun, Outfit Machang” – Selamba Pakai Pelikat Tengah Sejuk Tokyo, Netizen Pecah Perut appeared first on The Malaysian Update.