
TUMPAT – Seorang ibu tunggal menggunakan duit kutu sebanyak RM1,500 yang diterimanya sebagai modal membayar yuran pengajian anak ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Zaiton Harun, 62, dari Kampung Kual Lama, Geting, di sini, dia kebetulan menerima wang tersebut bulan lalu dan mahu menggunakannya untuk anak bongsu, Siti Zulaika Ramlli, 20.
“Mujur ada duit kutu yang diterima bulan lalu, dapat guna untuk bayar yuran pendaftaran pengajian anak. Sebanyak RM1,200 digunakan untuk membayar yuran pendaftaran yang perlu dilunaskan sebelum Siti Zulaika melaporkan diri pada 19 September ini.
“Baki daripada wang itu kami membeli sedikit barangan yang sekadarnya untuk Zulaika guna ketika di sana (UKM) nanti,” katanya.
Zaiton berkata, sebelum ini dia bekerja dengan mengambil upah menyiang ikan di tempat memproses keropok dengan pendapatan yang tidak menentu.
“Namun, sejak enam tahun saya sudah berhenti kerja. Sekarang saya dan Zulaika disara tiga anak. Wang yang dikirim tidaklah seberapa kerana mereka juga ada komitmen sendiri,” katanya.
Zaiton berkata, tiga daripada tujuh anaknya juga menjejakkan kaki ke menara gading sebelum ini dan semuanya ditanggung sepenuhnya olehnya sehinggakan terpaksa menjual barang kemas.
Sementara itu, Siti Zulaika yang akan mengikuti pengajian Sastera Dalam Persuratan dan Kebudayaan Melayu berkata dia tidak terlalu membuat persediaan.
“Mungkin semester satu ini saya perlu mengikat perut sedikit kerana banyak memerlukan wang, termasuk membeli komputer riba,” katanya yang menerima kunjungan Pengerusi Reformis Parlimen Tumpat, Baharom Hassan.
Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Zulaika di talian 0146155466 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya iaitu 0301 7410 0004 1623.
The post Duit kutu jadi ‘modal’ daftar anak masuk UKM appeared first on Kosmo Online.


