Duit saya, rezeki saya, jadi suka hati sayalah nak pesan apa untuk anak saya – Rita Rudaini

Family & Parenting
19 Aug 2026 • 3:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Duit saya, rezeki saya, jadi suka hati sayalah nak pesan apa untuk anak saya – Rita Rudaini

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini, 50, menjelaskan, segala usaha menyediakan pemakanan terbaik buat anaknya sepanjang menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dilakukan atas inisiatif dan perbelanjaannya sendiri.

Menurut Rita, penjagaan pemakanan anak-anaknya ketika menghadapi peperiksaan sama pentingnya dengan persediaan akademik kerana makanan yang berkhasiat dapat membantu membekalkan tenaga, meningkatkan fokus serta memastikan minda kekal cergas.

Katanya, dia sendiri merancang menu makanan anak, mengeluarkan perbelanjaan dan mendapatkan kerjasama pihak kafe untuk menyediakan hidangan seperti yang ditetapkan.

“Sepanjang anak menjalani peperiksaan percubaan SPM di MRSM, saya sendiri mengambil inisiatif untuk menjaga pemakanannya. Saya keluarkan duit sendiri, merancang menu sendiri dan meminta kerjasama pihak kafe untuk menyediakan makanan mengikut menu yang saya pilih. Saya memang ikhlas dan seronok melakukannya.

“Bagi saya, waktu peperiksaan bukan hanya tentang belajar. Pemakanan yang sihat dan cukup nutrisi juga sangat penting untuk membekalkan tenaga, membantu fokus serta memastikan minda kekal cergas, lebih-lebih lagi apabila anak sedang berdepan dengan tekanan dan cabaran peperiksaan,” katanya.

Rita berkata, usaha berkenaan adalah sebahagian daripada caranya memberikan sokongan kepada anak dari rumah, selain memastikan keperluan mereka sepanjang tempoh peperiksaan diberi perhatian sebaiknya.

Dalam masa sama, pelakon itu menegaskan segala perbelanjaan berkaitan pemakanan anaknya adalah menggunakan wang sendiri dan bukan membabitkan dana persatuan.

“Ini adalah salah satu cara saya menyokong anak dari rumah. Semuanya atas usaha dan perbelanjaan saya sendiri. Bukan menggunakan duit persatuan. Duit saya, rezeki saya, jadi suka hati sayalah nak pesan apa untuk anak saya.

“Tak perlulah dengki dengan rezeki atau makanan di pinggan orang lain. Kalau teringin, pesan dan bayar sahaja. Tak perlu jadikan perkara yang mudah itu terlalu rumit. Hidup ini sebenarnya sederhana, jangan kita sendiri yang menyusahkan perkara yang mudah,” katanya.

Rita turut menyifatkan tindakannya itu sebagai naluri seorang ibu yang mahu memberikan yang terbaik buat anak, khususnya ketika mereka sedang melalui tempoh penting dalam pendidikan.

“Saya cuma seorang ibu yang sedang melakukan yang terbaik untuk anaknya. Bagi saya, apa yang saya lakukan ini adalah salah satu bentuk sokongan daripada seorang ibu kepada anak. Selagi saya mampu dan ia memberikan manfaat kepada anak, saya akan lakukan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

The post Duit saya, rezeki saya, jadi suka hati sayalah nak pesan apa untuk anak saya – Rita Rudaini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved