Usahawan tempatan yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan berpeluang menikmati tajaan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma menerusi program DuITje di Arena Square, Seremban, esok (28 November).
Tawaran eksklusif itu khusus diberikan kepada 10 merchant terawal yang mendaftar pada esok, yang juga hari terakhir penganjuran program berkenaan yang berlangsung sejak 24 Nov lalu.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen platform DuITje dalam membantu usahawan tempatan menguruskan perniagaan secara lebih tersusun tanpa perlu terbeban dengan kos pendaftaran awal.
Pada masa sama, program berkenaan turut menjadi pentas pelancaran DuITje Loka, sebuah inisiatif baharu yang membuka ruang kepada produk, kreativiti, warisan dan hasil tangan tempatan untuk diketengahkan kepada masyarakat.
DuITje Loka dilancarkan pada 25 Nov (Rabu).
Bukan sekadar menumpukan kepada peluang keusahawanan, penganjuran kali ini turut menggabungkan elemen warisan budaya, kreativiti dan teknologi bagi menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung seisi keluarga.
Antara tarikan yang disediakan termasuk kiosk busana tradisional Negeri Sembilan yang mengetengahkan keunikan identiti negeri itu, selain permainan berasaskan teknologi 3D Printing bagi mendedahkan pengunjung kepada dunia teknologi kreatif secara lebih dekat.
Kemuncak acara esok bakal dimeriahkan lagi dengan persembahan istimewa daripada penyanyi popular, Aiman Tino, di samping pelbagai pameran produk tempatan dan aktiviti interaktif.
Orang ramai khususnya warga Negeri Sembilan dijemput hadir beramai-ramai ke Arena Square, Seremban esok bagi memeriahkan hari terakhir program, mendapatkan maklumat lanjut penyertaan merchant, serta merebut peluang tajaan pendaftaran SSM percuma yang ditawarkan.
Menerusi penganjuran ini, DuITje berharap dapat menghubungkan usahawan, komuniti dan pengguna dalam satu ekosistem yang memperluas peluang ekonomi serta mengangkat potensi produk tempatan.


