DuITje Loka Buka Peluang Niaga, Taja Pendaftaran SSM 10 Usahawan Terawal

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 6:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

SEREMBAN - Peluang memulakan perniagaan dengan lebih mudah ditawarkan kepada usahawan tempatan menerusi inisiatif DuITje Loka.

Inisiatif terbabit memperuntukkan tajaan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma kepada 10 perniagaan terawal, esok.

Tawaran berkenaan merupakan antara usaha platform DuITje memperluas penyertaan peniaga tempatan dalam ekosistem perniagaan digital, selain membantu mereka membina asas perniagaan yang lebih tersusun tanpa dibebani kos pendaftaran.

Inisiatif itu diperkenalkan sempena program DuITje yang berlangsung di Arena Square, Seremban, dari 24 hingga 28 November 2026, dengan mengetengahkan DuITje Loka sebagai ruang mempromosikan produk, hasil kreativiti, warisan serta kraf tempatan.

Image from: DuITje Loka Buka Peluang Niaga, Taja Pendaftaran SSM 10 Usahawan Terawal

Bukan sekadar menjadi medan jualan, penganjuran kali ini turut menggabungkan unsur kebudayaan dan teknologi bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung.

Antara yang mencuri perhatian ialah kiosk busana tradisional Negeri Sembilan yang mengetengahkan keistimewaan identiti negeri itu, selain aktiviti permainan berasaskan teknologi percetakan tiga dimensi (3D Printing).

Gabungan elemen berkenaan memberi peluang kepada pengunjung mengenali keunikan warisan tempatan, di samping melihat bagaimana teknologi kreatif boleh dimanfaatkan dalam penghasilan produk dan aktiviti interaktif.

Pelbagai pameran produk serta aktiviti lain turut disediakan, sekali gus menjadikan program berkenaan sebagai ruang pertemuan antara pengusaha tempatan dengan masyarakat.

Suasana pada hari terakhir penganjuran esok dijangka lebih meriah dengan penampilan penyanyi popular, Aiman Tino, yang bakal menghiburkan pengunjung menerusi persembahan nyanyian.

Orang ramai, khususnya penduduk Negeri Sembilan dan kawasan berhampiran, dialu-alukan mengunjungi Arena Square bagi memanfaatkan peluang yang disediakan, termasuk mendapatkan maklumat mengenai penyertaan sebagai perniagaan di bawah DuITje.

Bagi usahawan yang berminat, tawaran tajaan pendaftaran SSM itu boleh menjadi langkah awal untuk mengembangkan perniagaan secara lebih formal dan terancang.

Melalui DuITje Loka, platform berkenaan menyasarkan pembentukan jaringan yang lebih kukuh antara usahawan, pengguna dan komuniti, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada produk serta bakat tempatan untuk diketengahkan. - Getaran, 27 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved