
KUALA LUMPUR – “Dulu kita ada GST (cukai barangan dan perkhidmatan), sekarang dipotong GST jadi banyaklah perkara tak boleh nak dibuat”.
Demikian jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditanya mengapa kebanyakan jalan dan lebuh raya di negara ini masih lagi gelap dan menjadi antara punca kes kenalangan jalan raya.
Ahmad berkata, bagi menerangi semua jalan dan laluan di negara ini kerajaan memerlukan peruntukan yang sangat besar.
Namun katanya pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi untuk melaksnakan inisiatif sepertti itu.
“Tidak semua kita boleh cahayakan (pasang lampu jalan, itu sebab kereta ada lampu, itu sebab kenderaan ada lampu, itu sebab motosikal ada lampu. Kalau gelap, buka lampu. Buka lampu motor, buka lampu kereta, buka lampu kenderaan.
“Jika kita nak mencahayakan segala jalan, di Malaysia, kerajaan tak cukup duit, Ada sumber duit dipotong. Dulu ada GST, sekarang dipotong GST. Jadi banyaklah perkara tak boleh nak dibuat,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikan ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Rosni Sohar yang memaklumkan banyak laluan terutamanya di Lebuh Raya Persekutuan gelap dan bertakung air apabila hujan.
Kata senator itu, keadaan tersebut telah membahayakan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal sehingga berisiko terjadinya kemalangan.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagaimanapun kerajaan melalui beberapa kementerian lain serta agensi telah mengambil inisiatif bagi menerangi laluan yang gelap.
“Ketika saya Timbalan Menteri, kita lulus lampu jalan kampung RM200 juta untuk 20,000 kampung. Tapi saya harap usaha-usaha begitu akan terus dilakukan.
“Tidak semua di bawah Kementerian Kerja Raya, ada sebahagian daripada majlis daerah, majlis perbandaran, ada sebahagian daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk kita mencahayakan bukan hanya lorong motosikal, tetapi juga jalan-jalan yang lain,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Dulu ada GST, tapi sekarang dipotong, banyaklah tidak boleh buat – Ahmad Maslan appeared first on Kosmo Digital.






