Dulu anggota ATM, kini jurusolek pengantin

BeautyLifestyle
23 May 2026 • 9:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dulu anggota ATM, kini jurusolek pengantin
Keputusan menceburi bidang tata rias pengantin selepas bersara daripada ATM menjadi sumber pendapatan Shahirul untuk menyara keluarga.

SHAH ALAM – Pengalaman selama bertahun-tahun menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menghalang seorang pesara tentera memanfaatkan bakat seni yang dimiliki untuk bergelar jurusolek dan penata gaya pengantin.

Bagi Mohamad Shahirul Shahidan, 43, keputusan menceburi bidang tata rias pengantin selepas bersara daripada ATM tiga tahun lalu bukan sekadar memenuhi minat malah menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarganya.

Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi menyara isteri, Nor Haslina Ramli, 42, dan empat anak mereka yang berusia antara enam hingga 17 tahun tanpa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen.

Shahirul berkata, pendedahan awal dalam teknik solekan diperoleh ketika berusia 18 tahun iaitu selepas mengikuti rakannya menyaksikan demonstrasi solekan oleh jurusolek terkenal, Zulfazli Suhadi di Pulau Pinang.

“Dari situ saya mula belajar asas solekan. Namun ketika itu saya tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal di kampung, jadi saya membuat keputusan untuk menyertai angkatan tentera pada usia 19 tahun.

“Alhamdulillah, saya diterima masuk dan selepas tamat latihan, saya ditugaskan di sebuah unit di Kementerian Pertahanan (MINDEF),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Walaupun sibuk menjalankan tugas sebagai anggota tentera, Shahirul berkata, dia tidak pernah melupakan minatnya dalam bidang andaman dan solekan.

Katanya, dia bijak membahagikan masa dengan mengambil tempahan solekan pada hujung minggu selain sering menerima tempahan sempena majlis makan malam anjuran pihak tentera.

Selepas bersara, Shahirul mengakui tidak kekok untuk kembali aktif dalam bidang solekan walaupun berdepan cabaran pada peringkat awal kerana jumlah pelanggan yang masih terhad.

“Ketika mahu bermula semula, seorang rakan di sebuah butik di Taiping, Perak menawarkan peluang pekerjaan dalam bidang solekan sebelum saya turut terlibat dalam kerja dekorasi pelamin di butik lain juga di Perak.

“Saya juga banyak belajar menerusi YouTube dan media sosial untuk menambah ilmu berkaitan dandanan serta penataan gaya pengantin lelaki,” ujarnya.

Kini, Shahirul semakin dikenali dan menerima pelbagai tempahan termasuk untuk majlis makan malam, pertunangan dan jamuan teh.

Menurutnya, aplikasi TikTok menjadi medium utama untuk mempromosikan perkhidmatannya selain membantu menarik lebih ramai pelanggan.

Dalam pada itu, Shahirul mengakui kerjaya sebagai jurusolek tetap mempunyai cabarannya tersendiri, terutama membabitkan komitmen terhadap pelanggan.

“Setiap hari saya membuka dua hingga tiga slot sahaja. Perkara yang paling saya risaukan ialah jika pelanggan sudah membuat tempahan tetapi saya tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan atau kecemasan.

“Selain itu, saya juga bimbang jika pelanggan tidak berpuas hati dengan hasil solekan yang diberikan,” katanya.

Menurut Shahirul, kerjaya dalam dunia kecantikan memberikan kepuasan berbeza berbanding tugas yang pernah dipikulnya sebelum ini sebagai anggota tentera.

“Saya rasa lebih selesa dan tenang kerana berpeluang bertemu dengan pelanggan-pelanggan yang memahami kerjaya saya. Saya juga dapat pengalaman baharu yang meningkatkan hasil kerja saya.

"Saya amat bertuah kerana pada peringkat awal melangkah ke bidang ini, selain rakan-rakan yang menawarkan kerja di butik, ibu dan keluarga juga adalah penggerak utama yang banyak memberi sokongan moral.

“Pada saya setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadikan kelebihan diri untuk beri yang terbaik dan perbaiki kelemahan untuk jadi orang yang lebih baik,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved