Teknologi Bateri Geely Tawar Pengecasan Terpantas Dunia – 10% Hingga 70% Dalam Masa Kurang 5 Minit

TechnologyCars
9 Apr 2026 • 4:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kereta elektrik (EV) kini dilihat sebagai pelaburan yang baik lebih-lebih lagi selepas harga jualan bahan api berasaskan petroleum melonjak seperti Zaki Sadri disebabkan krisis Asia Barat. Tetapi teknologi EV masih mempunyai isu masa untuk mengecas semula agak panjang dibandingkan masa diambil mengisi setangki minyak.

image is not available
Energee Golden Brick Battery

Lynk & Co, anak syarikat Geely dan Zeekr mengumumkan teknologi Energee Golden Brick Battery yang kini menyokong pengecasan paling pantas di dunia. Bateri ini boleh dicas daripada 10% ke 70% dalam masa 4 minit 22 saat, 10% – 80% dalam masa 5 minit 32 saat dan 0% – 97% dalam masa 8 minit 42 saat. Ia memintas rekod bateri BYD Blade yang mengambil masa 10%- 70% dalam masa 5 minit dan dan 10%-97% dalam masa 9 minit.

image is not available
Lynk & Co 10+

Bateri ini bukan sekadar prototaip tetapi telah digunakan pada dua EV Lynk & Co 10+ dan Lynk & Co 10 yang dilengkapi bateri 900V 95kWh dengan jarak perjalanan CLTC sehingga 816 km. Tetapi untuk menikmati pengecasan pantas jarak perjalanan 2 km ditambah setiap saat ini, kenderaan perlu dicas menggunakan rangkaian pengecas V4 yang menawarkan kuasa puncak 1300kW dan arus puncak 1300A. Kerana bekalan kuasa yang tinggi, V4 memerlukan sistem penyejukan cecair sepanjang masa.

Jadi sekiranya di masa hadapan Proton menggunakan Energee Golden Brick Battery menerusi syarikat induk Geely sekalipun, pengecasan pantas belum tentu boleh dinikmati. Pengecas EV terpantas di Malaysia hanya menawarkan kuasa 400kW DC sahaja dengan sasaran 10,000 pengecas yang ditetapkan kerajaan tidak dicapai di penghujung 2025.