
PETALING JAYA – Kalau sudah jodoh, ‘besan sebantal’ pun tidak mustahil.
Itu ungkapan boleh digambarkan bagi pasangan suami isteri, Syed Saifudeen Syed Mansoor, 63, dan Nor Azura Md Yusof, 55, yang pada mulanya hanya mempunyai hubungan sebagai besan sebelum takdir menyatukan mereka sebagai pasangan hidup.
Berkongsi kisah tersebut, Puteri Nazratul Amirah Mohd Azman, 33, berkata, dia sendiri tidak menyangka jodoh buat ibunya adalah bapa mentuanya sendiri iaitu bapa suaminya, Syed Mohd Baihaqi Hilmi, 36.
“Saya berkahwin dengan suami pada 2018 dan pada 2019, ibu mentua Allahyarham Kembang Abd Rahman didiagnosis masalah buah pinggang dan dua tahun lebih menjalani dialisis.
“Pada April 2022, ibu mentua meninggal dunia dan dalam masa sama, anak-anak ayah mentua (adik-beradik suami) semua sudah berkahwin dan berkeluarga. Jadi dia sunyi di rumah. Tetapi kami kerap balik kampung.
“Balik kampung, saya sering keluar dengan mak atau ayah mentua di Kuantan. Benda tu macam tak sedap (apabila keluar bersama-sama), jadi bolehlah (cadangan berkahwin) dan ayah mentua pun sunyi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Puteri Nazratul Amirah berkata, kemudian bapa mentuanya sendiri datang ke rumah bertemu ibunya berhubung hasrat untuk berkahwin.
“Sebelum saya dan suami berkahwin, keluarga memang rapat dan kami kenal lama sejak saya kecil. Bila bapa mentua datang ke rumah, ibu saya tak biasa sebab sudah berbelas tahun ibu seorang diri selepas arwah ayah, Allahyarham Mohd Azman Mohd Nordin meninggal dunia ketika saya sekolah rendah.
“Dia tanya saya dan minta tanya keluarga. Saya telefon setiap adik-beradik, mak saudara, sepupu yang rapat dan mereka berikan respons positif. Mereka memang kenal rapat bapa mentua,” katanya.
Puteri Nazratul Amirah yang juga ibu kepada tiga anak lelaki berkata, ibu dan bapa mentuanya kemudian disatukan pada September 2022.
“Selepas ibu dan ayah mentua berkahwin, hubungan kami menjadi rapat. Dahulu saya rapat dengan arwah ibu mentua, ayah macam garang, tegas sikit dan ketika itu dia masih bekerja.
“Saya rapat dengan ibu mentua, hantar pergi dialisis ketika kami masih tinggal di Kuantan, manakala ayah mentua tak rapat sangat. Tapi sekarang lebih rapat apabila sudah jadi ayah tiri.
Ditanya mengenai arwah bapanya, Puteri Nazratul Amirah berkata, Allahyarham Mohd Azman meninggal dunia pada 2004 ketika berusia 35 tahun akibat kanser usus.
Terdahulu, Puteri Nazratul Amirah berkongsi kisah ibu dan bapa mentuanya pada hantaran TikTok sekali gus mendapat pelbagai maklum balas positif.
The post Dulu besan kini tidur sebantal appeared first on Kosmo Online.
