
SETIAP kali menyentuh isu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah, pasti ramai yang akan meluahkan pelbagai pandangan.
Ada yang memuji, tak kurang juga yang mengkritik menu yang disediakan oleh pihak kantin.
Namun, baru-baru ini tular satu perkongsian di laman Threads, individu berkenaan meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir murid yang terlalu memilih makanan.
"Anak-anak ni sebenarnya nak menu RMT macam mana lagi? Kadang-kadang terlalu memilih.
"Puas dah pesan, bersyukur je, makan sampai habis, semua ni rezeki. Kat rumah tu hari-hari makan lagi sedap dan cukup berkhasiat ke?," ujarnya
Tambahnya lagi, dalam hal ini masyarakat tidak sepatutnya menuding jari kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak sekolah, guru mahupun pengusaha kantin.
Ini kerana setiap menu dan saiz hidangan yang disediakan sudah ditetapkan mengikut garis panduan bagi memastikan murid mendapat nutrisi seimbang untuk membesar dengan baik, terutamanya buat anak-anak daripada keluarga B40.
Hakikatnya, isu anak memilih makanan ini sebenarnya berakar umbi daripada corak didikan ibu bapa di rumah.

Jika dari kecil anak-anak sudah dibiasakan dengan makanan ringan, tidak hairanlah jika lidah mereka menolak hidangan berkhasiat di sekolah. Ibu bapa perlu tegas dan mendidik anak untuk tidak membazir serta menerima apa sahaja rezeki dengan rasa syukur.
Jangan disebabkan terlalu sayangkan anak, semua benda diikutkan hingga anak menjadi besar kepala dan memandang remeh usaha pihak sekolah.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut dihujani pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya mengimbau memori lama sebagai bekas penerima RMT.
Seorang netizen mengakui bahawa bagi anak-anak yang benar-benar hidup susah, makanan RMT adalah satu nikmat yang sangat besar dan tiada ruang untuk mereka merungut.
"Aku bukan nak judge, tapi budak kalau betul-betul susah, nak jumpa ayam sebulan sekali pun belum tentu. Memang akan licin je... tak sempat pun nak memilih, janji kenyang."
Perkara itu turut disokong oleh seorang lagi bekas penerima RMT yang menganggap menu ringkas di sekolah dahulu sudah cukup mewah buat keluarganya yang kurang berkemampuan.
"Aku sebagai budak yang dapat RMT akui apa yang sis cakap ni betul. Dapat makan nasi ayam tiap Jumaat dah kira paling bahagia waktu tu. Walaupun nasi ayam kosong je. Sebab kat rumah, ayam adalah antara makanan yang kami cuma makan beberapa kali setahun je."
Bagaimanapun, ada sudut pandang berbeza yang meminta masyarakat untuk lebih empati dan melihat isu ini daripada kacamata seorang kanak-kanak.
Menurut pandangan berkenaa, sifat memilih makanan adalah perkara normal bagi jiwa kecil yang belum matang, tanpa mengira status kewangan mereka.
"Mereka adalah anak-anak. Hanya kerana mereka miskin, tidak bererti mereka tidak punya hak untuk tidak menyukai hal-hal yang tidak sesuai dengan selera mereka. Orang miskin pun manusia... dan mereka masih anak-anak lagi. Tambahlah botol kicap di situ kalau ada... mungkin boleh tambah minat mereka. Jangan cakap macam ni hanya kerana mereka miskin... sedih saya baca komen ramai macam ni. Mereka cuma kanak-kanak. Nasihatkan mereka... dan cuba tengok kalau boleh buat rasa dia lebih sedap, buatlah."
Menariknya, perkongsian itu turut mencuit hati apabila ada netizen yang berkongsi kisah lucu terpaksa menjadi 'penyelamat' makanan RMT yang tidak mahu dimakan oleh rakan sekelas mereka sendiri.
Ada yang mengimbau kisah selalu kena tegur dengan cikgu sebab ambil makanan RMT rakan yang tidak mahu makan sampai licin.
Seorang lagi netizen turut berseloroh menceritakan bagaimana dia gemuk memakan RMT pada jam 4.30 petang setiap hari Rabu selepas rakan-rakannya menolak hidangan tersebut.
Selain isu menu dan sikap murid, ada juga bekas penerima RMT yang memberikan cadangan membina mengenai waktu hidangan yang dirasakan kurang sesuai dengan biologi perut kanak-kanak, yang mana ia sepatutnya diubah ke waktu yang lebih tepat.

"Sebagai bekas penerima RMT saya beri cadangan. Portion ni agak banyak untuk kami, pula tu waktu rehat pukul 10 pagi.
"Makanan ni patutnya dimakan pada waktu lunch hour lepas habis sekolah pukul 12.30 tengah hari atau pukul 1 petang.
"Waktu tu baru budak-budak start lapar betul untuk makan tengah hari dan bersiap untuk ke sekolah agama sebelah petang," kongsinya lagi.
Bagi penulis, setiap program yang diwujudkan pasti ada ruang untuk penambahbaikan, begitu juga dengan pengurusan RMT.
Namun sebagai ibu bapa, tanggungjawab utama kita adalah menyemai rasa syukur dalam diri anak-anak sejak dari rumah lagi.
Makanan bukan sekadar soal sedap atau mengikut selera tekak semata-mata, tetapi ia adalah tentang menghargai rezeki yang ada.



