Kenyataan Sentuh Institusi Diraja: Tony Pua Hadir Beri Keterangan Di IPD PJ

LocalPolitics
21 May 2026 • 6:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kenyataan Sentuh Institusi Diraja: Tony Pua Hadir Beri Keterangan Di IPD PJ

PETALING JAYA - Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, hadir memberi keterangan kepada polis hari ini berhubung hantaran dimuat naik di media sosial, yang didakwa menyentuh isu berkaitan Institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.

Menurut Tony, rakaman percakapan itu dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4 petang, walaupun pada asalnya diminta hadir ke IPD Shah Alam.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata polis menerima sebanyak 77 laporan berhubung hantaran berkenaan.

Semalam, pihak polis dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap pemimpin DAP itu, susulan satu hantaran di Facebook yang didakwa menyentuh sensitiviti institusi diraja dan prinsip Rukun Negara.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kenyataan dimuat naik di media sosial, Tony Pua berkata beliau memberikan kerjasama penuh sepanjang proses rakaman percakapan yang berlangsung kira-kira 40 minit.

“Saya memberikan kerjasama penuh kepada dua pegawai IPD Shah Alam yang sangat profesional.

“Sebagai sebahagian daripada rakaman percakapan itu, saya turut mengesahkan bahawa hantaran Facebook tersebut ditulis sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Tony Pua yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan kuasa Raja-Raja Melayu tertakluk kepada peruntukan tertentu di bawah Perlembagaan.

Kenyataan tersebut dipercayai dibuat susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menasihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki, serta bekas Exco Selangor, Ronnie Liu, mengunjungi Dataran Selangor setiap minggu bagi memahami dan menghayati maksud sebenar Rukun Negara. — Getaran, 21 Mei 2026

View Original Article