
SIAPA sangka, hero remaja yang dahulunya sering menghiasi kaca televisyen menerusi drama popular seperti Spa Q dan Dunia Baru, kini sudah 15 tahun melayari bahtera rumah tangga.
Malah, penampilan pelakon Fazren Rafi yang tetap awet muda atau baby face sering kali mengundang usikan netizen, seolah-olah masa tidak berganjak buat bapa kepada lima cahaya mata ini.
Mengulas mengenai rahsia penampilannya, Fazren mengakui ia adalah gabungan rezeki dan disiplin yang tinggi.
"Apa rutin amalan tentu-tentu yang saya amalkan? Rasanya mungkin rezeki saya dapat muka baby face begini.
"Sebenarnya saya memang agak jaga sikit makan sebab dah tua-tua ni suka masuk aktiviti," jelasnya yang baru sahaja menamatkan cabaran Full Ironman di Sweden.

Rutin hariannya bermula seawal jam 6 pagi dengan sesi renang dan latihan kekuatan, malah beliau sangat konsisten dengan menu sihat seperti kentang, telur, oat, madu dan kurma yang diulangnya setiap hari demi menjaga kualiti fizikal.
Bercerita mengenai kehilangannya daripada radar lakonan selama empat tahun, Fazren mendedahkan bahawa isu disiplin masa di set penggambaran menjadi punca utama beliau tawar hati.
Dia tidak lagi mampu bertolak ansur dengan waktu kerja yang tidak menentu sehingga pernah bertindak nekad meninggalkan set lokasi.
"Sebab bila dalam syuting ni, antara disiplin yang paling teruk lah saya nak cakap dalam syuting ni memang masalah.
"Kalau kita cakap call time pukul 8 pagi boleh jadi kadang pukul 12, pukul 1, pukul 2 baru kita syuting kan.
"Jadi, saya dah tak boleh tolerate dah dengan time tu," kongsinya jujur.
Malah, perasaan rindu terhadap keluarga atau homesick sering melanda, membuatkan beliau lebih selesa berada di rumah.

Namun, dirinya tetap terbuka untuk kembali beraksi jika ditawarkan naskhah comeback yang melibatkan gandingan semula dengan rakan-rakan lama kerana baginya, hubungan ukhuwah dan keserasian itu lebih bermakna.
Pada masa sama, fokus utamanya kini adalah memperkukuhkan empayar perniagaan makanan dan minuman (F&B) yang sudah diceburinya lebih sedekad lalu, termasuk menguruskan kantin sekolah dan perniagaan katering.

Fazren sangat menitikberatkan soal kualiti dan sedang dalam proses memastikan semua rangkaian makanannya mendapat pengiktirafan halal yang sah.
Menariknya, keharmonian rumah tangga yang dikecapi selama 15 tahun ini sebenarnya datang daripada sifatnya yang sangat suka meluangkan masa di rumah atau homebody.
"Untuk kekal harmoni ni sebenarnya saya memang tak ada tips. Cumanya, saya ni memang seorang lelaki yang suka duduk rumah terutama dengan isteri dan anak-anak.
"Jadi most of the time memang saya rasa lebih daripada 12 jam tu memang duduk rumah," katanya lagi ketika ditemu bual SinarPlus.

Baginya, keriuhan bersama isteri dan lima orang anak serta fokus terhadap perniagaan sudah cukup memberikan kepuasan berbanding kehidupan glamor di bawah lampu cahaya neon.
