
KISAH pilu menimpa mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin terus kembali menjadi perhatian apabila Mahkamah Rayuan menaikkan hukuman kepada bekas suaminya, Rosmaini Abdul Raof kepada 14 tahun penjara atas perbuatannya yang menyebabkan wanita itu koma.
Terbaharu, peguam yang mewakili Rosmaini, Kamal Hisham Ja’afar berkata, pihaknya tidak lagi akan mewakili lelaki berusia 43 tahun tersebut dalam prosiding akan datang.
"Sebelum ini, atas dasar profesionalisme selaku seorang peguam, saya akur untuk membela Rosmaini sehingga ke peringkat terakhir di Mahkamah Rayuan namun perkara itu disalahtafsir oleh masyarakat sehingga sanggup memburukkan barisan peguam.
"Sedangkan, saya mewakili Rosmaini secara percuma iaitu 'pro bono', selepas isteri pertama dan anak-anaknya merayu meminta pertolongan.
"Jadi, selesainya rayuan ini, saya tidak mewakili Rosmaini lagi, termasuk kes-kes lain pada masa hadapan," katanya kepada Sinar Harian.
Tindakan ganas Rosmaini telah mengubah seluruh kehidupan Jahidah daripada seorang wanita bekerjaya kepada individu yang bergantung sepenuhnya kepada penjagaan keluarga.

Lebih menyayat hati, dalam keadaan tidak sedarkan diri, Jahidah melahirkan seorang bayi lelaki yang kini disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU).
Anak kecil itu membesar tanpa sentuhan dan kasih sayang seorang ibu yang sempurna semuanya berpunca daripada kejadian tragis yang berlaku pada Mei 2021.
Difahamkan, lelaki berkenaan yang ditahan di Penjara Kajang dan akan dibawa ke Kedah dalam masa terdekat bagi menghadapi pertuduhan yang menimpa isteri ketiga, yang mengalami keguguran, di Mahkamah Sungai Petani, Kedah, Khamis ini.
Mangsa yang bertugas sebagai penjawat awam cedera di badan dan lebam di muka selepas dipercayai dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah oleh suaminya hingga menyebabkan kandungan berusia 12 minggu gugur.
Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang berusia 43 tahun itu telah berkahwin sebanyak sembilan kali dan kesemua isteri serta bekas isterinya bekerja sebagai penjawat awam.
Disifatkan sebagai seorang yang panas baran, suspek yang mempunyai 11 anak mempunyai empat rekod jenayah lampau yang melibatkan Seksyen 325, Seksyen 323, Seksyen 318 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian 1, 2





