'Dulu kena angkat kalau nak pergi tandas' – Pernah terlantar 3 bulan akibat autoimun, Karl Shafek kembali ke pentas teater selepas 8 tahun

Health & FitnessLifestyle
26 Aug 2026 • 3:37 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Dulu kena angkat kalau nak pergi tandas' – Pernah terlantar 3 bulan akibat autoimun, Karl Shafek kembali ke pentas teater selepas 8 tahun

LAMA menyepi daripada radar hiburan tanah air, rupanya ada fasa sukar yang terpaksa dilalui pelakon dan pengacara versatil, Karl Shafek.

Kehilangannya daripada dunia lakonan bukan kerana sengaja menjauh, sebaliknya Karl, 44, perlu memberi perhatian serius terhadap kesihatan selepas disahkan menghidap penyakit autoimun jenis ankylosing spondylitis pada September 2019.

Keadaan itu pernah menjejaskan rutin hariannya sehingga dia terlantar di atas katil selama tiga bulan. Hari ini, meskipun keadaan kesihatannya jauh lebih terkawal, Karl mengakui penyakit tersebut masih menjadi sebahagian daripada kehidupan yang perlu diuruskan dengan disiplin.

“Autoimun saya masih lagi ada. Kalau tengok mata saya pun sentiasa merah, itu sebenarnya kesan daripada radang dalam badan. Cuma sekarang ia lebih terkawal sebab saya masih makan ubat dan mengamalkan gaya hidup sihat yang mampu dibuat.

“Penyakit ini memang ‘rumahnya’ dekat tulang belakang. Ia akan kacau setiap sendi dan bagi radang hingga kadang-kadang boleh jadi bengkak.

“Sebab itu dulu saya pernah terlantar atas katil selama tiga bulan pada tahun 2019, memang kena angkat kalau nak pergi tandas,” katanya jujur.

Jelas Karl, jika dahulu dia perlu bergantung kepada belasan biji ubat sehari, jumlah tersebut kini berkurangan kepada lima biji sehari, bergantung kepada keadaan radang dalam badan.

Image from: 'Dulu kena angkat kalau nak pergi tandas' – Pernah terlantar 3 bulan akibat autoimun, Karl Shafek kembali ke pentas teater selepas 8 tahun

“Sekarang ubat saya dah berkurang kepada lima biji sehari, kecuali kalau kadar radang atau inflammation dalam badan meningkat tinggi.

“Orang biasa kadar radangnya sekitar 15, tapi saya paling rendah pun boleh pergi 30. Kalau dah naik sampai 60 atau 70, saya kena tambah ubat semula atau menjalani rawatan atau fisioterapi.

“Sebab itu sejak beberapa tahun ini saya tukar lifestyle yang lebih santai dan tidak terlalu work-oriented. Kerja tetap kerja, tapi bukan lagi penggambaran dari pagi ke pagi macam dulu,” kongsinya.

Perubahan tersebut bagaimanapun tidak membuatkan Karl terus mengetepikan aktiviti yang diminatinya. Sebaliknya, dia belajar mengenali had tubuh dan lebih berhati-hati dalam memilih aktiviti fizikal.

Hiking secara perlahan masih menjadi pilihan, namun aktiviti yang memberikan hentakan kuat pada tulang belakang seperti maraton, motocross atau mengangkat beban berat terpaksa dielakkan.

“Saya tak boleh buat benda yang terlalu lasak. Saya sangat teringin nak pergi maraton, tapi saya tak boleh sebab ada hentakan pada tulang belakang.

“Hiking slow-slow saya boleh buat, cuma saya kena jaga badan,” jelasnya.

Kerinduan beraksi

Di sebalik perubahan rutin kehidupan, satu perkara yang tidak pernah benar-benar hilang daripada diri Karl ialah kecintaannya terhadap dunia seni pentas.

Walaupun kini banyak memberi tumpuan kepada perniagaan fesyen, agensi media sosial dan pengurusan model di belakang tabir, peluang kembali beraksi di pentas selepas lapan tahun dianggap sebagai satu rezeki.

Karl menerima tawaran daripada Kak Roy, pengarah daripada CTRA Production, untuk menjayakan watak Chef Rahman dalam sebuah teater muzikal, Tomyam Berdarah.

Image from: 'Dulu kena angkat kalau nak pergi tandas' – Pernah terlantar 3 bulan akibat autoimun, Karl Shafek kembali ke pentas teater selepas 8 tahun

Menariknya, ketika tawaran itu diterima, Karl sendiri belum mengetahui keseluruhan jalan cerita. Dia hanya diberitahu mengenai nama watak dan diminta meluangkan masa selepas selesai komitmen terhadap KL Fashion Week.

“Bila Kak Roy tawarkan watak itu, saya anggap ia bukan arahan, tetapi satu rezeki untuk saya kembali ke pentas teater selepas lama tak bermain.

“Saya memang suka teater. Kalau dalam bidang lakonan, saya lebih prefer dunia teater sebab pentas adalah tempat untuk saya belajar dan mengasah bakat,” ujarnya.

Kerinduan itu bagaimanapun hadir bersama debaran. Selepas lapan tahun tidak beraksi, Karl bimbang kemahiran lakonan, kawalan suara dan projeksi vokalnya sudah sedikit ‘berkarat’.

Image from: 'Dulu kena angkat kalau nak pergi tandas' – Pernah terlantar 3 bulan akibat autoimun, Karl Shafek kembali ke pentas teater selepas 8 tahun

Namun, rasa gementar itu bertukar menjadi cabaran apabila dia menyertai sesi latihan bersama barisan pelakon muda yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar USIM dan UKM.

“Bila mula-mula masuk sesi latihan, saya terkejut tengok adik-adik pelajar ini.

“Walaupun mereka bukan daripada latar belakang lakonan, hari pertama lagi masing-masing dah hafal skrip, lagu dan koreografi. Saya rasa sangat tercabar dan kena kerja keras untuk catch up dengan kepantasan mereka.

“Dari situ saya belajar sesuatu daripada mereka yang sangat terbuka untuk penambahbaikan dan keserasian,” katanya.

Image from: 'Dulu kena angkat kalau nak pergi tandas' – Pernah terlantar 3 bulan akibat autoimun, Karl Shafek kembali ke pentas teater selepas 8 tahun

Kulinari jadi latar

Pemilihan Karl sebagai Cef Rahman bertepatan dengan naskhah terbaharu itu yang mengangkat dunia kulinari serta industri makanan dan minuman (F&B) sebagai latar cerita.

Pementasan tersebut dijadual berlangsung selama tiga hari pada 28 hingga 30 Ogos 2026 di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Menurut penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Atan, tema kulinari dipilih kerana bidang berkenaan mempunyai potensi besar sebagai laluan kerjaya generasi muda, termasuk menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Image from: 'Dulu kena angkat kalau nak pergi tandas' – Pernah terlantar 3 bulan akibat autoimun, Karl Shafek kembali ke pentas teater selepas 8 tahun

Naskhah arahan serta tulisan tenaga pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Aloeng Silalahi itu turut menampilkan barisan pelajar USIM dan UKM, sekali gus memberi ruang kepada bakat muda untuk menimba pengalaman dalam seni persembahan.

Bagi Karl, pengalaman kembali ke pentas bukan soal mengejar populariti semata-mata. Selepas melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan kesihatan, dia lebih menghargai peluang untuk terus berkarya mengikut kemampuan sendiri.

“Kalau kita nak duduk dalam industri ini, yang penting sustain. Kalau kita boleh teruskan kehidupan dan buat apa yang kita minat, cukuplah,” ungkapnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved