Dulu pelawak, kini miliki 60 cawangan restoran, Ajak Shiro buka peluang pelanggan jadi ‘bos’ Bumbu Babah

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 9:22 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Dulu pelawak, kini miliki 60 cawangan restoran, Ajak Shiro buka peluang pelanggan jadi ‘bos’ Bumbu Babah

DARIPADA sekadar mahu menyediakan hidangan Nasi Padang yang mudah dan mesra poket, langkah Ajak Shiro dalam dunia perniagaan makanan kini berkembang lebih jauh.

Menerusi jenama Bumbu Babah di bawah Babah Ventures Sdn Bhd, perniagaan itu baru-baru ini membuka cawangan ke-60 di Lotus’s Manjung. Pencapaian tersebut dicapai dalam tempoh kurang dua tahun sejak Bumbu Babah mula beroperasi.

Bagi Ajak, perkembangan pantas itu bukan usaha seorang diri. Sebaliknya, dia melihat kekuatan pasukan dan pengalaman rakan kongsi dalam bidang makanan dan minuman (F&B) sebagai antara faktor penting yang membantu jenama berkenaan berkembang.

Image from: Dulu pelawak, kini miliki 60 cawangan restoran, Ajak Shiro buka peluang pelanggan jadi ‘bos’ Bumbu Babah

“Bila kami mula Bumbu Babah, saya memang tak nak cuba jadi hero dan belajar semua benda dari kosong. Saya selalu percaya usahawan yang bijak kena kelilingi diri dengan orang yang boleh buat benda yang dia sendiri tak boleh buat.

“Kami sangat bertuah sebab dapat bina pasukan dan ada rakan kongsi yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam F&B. Saya rasa itu antara sebab utama kenapa kami boleh berkembang secepat ini,” katanya.

Bumbu Babah Warisan

Selepas memberi tumpuan kepada hidangan untuk waktu makan tengah hari dan malam, Bumbu Babah kini turut memperkenalkan Bumbu Babah Warisan.

Konsep baharu itu mengetengahkan pilihan sajian Nusantara yang lebih pelbagai, termasuk Mie Bakso, Mie Ayam, Laksa Indo, roti bakar sentuhan Indonesia serta hidangan santai untuk dinikmati ketika minum petang.

Menurut Ajak, pengenalan konsep tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memenuhi keperluan pelanggan pada waktu berbeza, terutama dalam usaha memperluaskan kehadiran jenama itu ke pusat beli-belah utama.

“Kejayaan Bumbu Babah memberikan kami keyakinan bahawa rakyat Malaysia memang sangat menerima baik makanan Indonesia apabila produk, harga dan pengalaman itu betul.

“Dengan Bumbu Babah Warisan, kami nak ambil apa yang dah berjaya dan pergi kepada pasaran yang lebih besar. Kalau sebelum ini kita lebih kuat sebagai destinasi makan tengah hari dan malam, sekarang kita ada pilihan untuk waktu-waktu lain sepanjang hari,” jelasnya.

Image from: Dulu pelawak, kini miliki 60 cawangan restoran, Ajak Shiro buka peluang pelanggan jadi ‘bos’ Bumbu Babah

Kempen ECF

Pada masa sama, Bumbu Babah membuka peluang kepada pelanggan untuk menjadi sebahagian daripada perkembangan syarikat menerusi kempen Equity Crowdfunding (ECF) di platform pitchIN.

Ajak berkata, idea itu tercetus selepas dia menerima maklum balas daripada pelanggan yang mahu membantu serta memberikan pandangan berkaitan mutu sajian dan perkhidmatan di cawangan Bumbu Babah.

“Saya selalu dapat mesej daripada pelanggan yang genuinely nak membantu sebab mereka sayangkan jenama ini. Jadi satu hari saya tanya rakan kongsi, apa kata kita jadikan pelanggan kita pemegang saham?

“Kalau satu hari nanti kita ada ribuan pelanggan yang juga pemilik bersama, bayangkan kita ada ribuan lagi mata dan telinga di lapangan yang boleh membantu kita menambah baik perkhidmatan,” ujarnya.

Menerusi tawaran ECF itu, pelabur bukan sahaja memegang saham biasa syarikat, malah bakal menerima baucar tunai bernilai 120 peratus daripada jumlah pelaburan.

Sebagai contoh, pelaburan minimum RM800 akan menerima baucar tunai bernilai RM960 dalam aplikasi Bumbu Babah untuk digunakan di rangkaian restoran mereka.

Image from: Dulu pelawak, kini miliki 60 cawangan restoran, Ajak Shiro buka peluang pelanggan jadi ‘bos’ Bumbu Babah

Melangkah ke hadapan, Babah Ventures turut merancang kolaborasi strategik dalam bidang F&B bersama kumpulan muzik ikonik KRU menerusi KRU Café.

Dalam masa sama, syarikat itu menyasarkan persediaan ke arah tawaran awam permulaan (IPO) menjelang 2028.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved