
Tiga pelumba wanita yang sebelum ini pernah menjadi seteru di litar kini bergabung dalam satu pasukan apabila Saidatul Zakirah (#88), Beatrice Barbera (#94) dan Matilde Contri (#34) akan beraksi bersama pasukan Sommariva Corse bagi menghadapi saingan Women’s European Championship musim 2026. Menariknya, ketiga-tiga pelumba ini pernah bersaing sesama sendiri dalam musim-musim lalu, namun musim 2026 menyaksikan mereka kini berada di bawah satu bumbung yang sama, membentuk sebuah pasukan yang dilihat cukup berpotensi dalam kejuaraan tersebut.
Pasukan Sommariva Corse sendiri dikendalikan dalam suasana yang cukup rapat, dengan Matilde Contri menjelaskan bahawa pasukan tersebut terdiri daripada dirinya sendiri, teman lelakinya serta seorang juruteknik berpengalaman, Marco Agostini, yang akan menguruskan aspek teknikal jentera sepanjang musim.
Menariknya, Beatrice Barbera dan Saidatul Zakirah sebenarnya pernah bergelar rakan sepasukan dalam saingan Women’s European Championship pada musim 2024. Musim 2025, Bea melangkah ke pentas lebih tinggi apabila menyertai WorldWCR, sekali gus menambah pengalaman berharga di peringkat dunia.
Kini pada musim 2026, Bea kembali ke saingan Women’s European Championship, dan pengalamannya di WorldWCR dijangka menjadi kelebihan besar buat pasukan. Bea juga dilihat bersedia memainkan peranan penting dalam membantu dua rakan sepasukan menyesuaikan diri dengan jentera baharu ini kerana Women’s European Championship kini telah dinaik taraf daripada kategori Supersport 300 kepada penggunaan jentera Yamaha R7, motosikal yang sama digunakan dalam kejuaraan WorldWCR. Perubahan ini dilihat sebagai langkah penting bagi menyediakan pelumba wanita sebelum melangkah ke pentas dunia.
Bagi pelumba Malaysia, Saidatul Zakirah atau lebih dikenali sebagai Kirah, penyertaan bersama Sommariva Corse menjadi satu peluang besar dalam kariernya.
“Tahun ini Kirah akan berlumba bersama pasukan Sommariva Corse dan Kirah sangat teruja untuk menyertai pasukan ini serta bekerjasama dengan mereka sepanjang musim dalam Women’s European Championship 2026. Kirah meletakkan kepercayaan kepada pasukan ini dan berharap dapat membina kerjasama yang baik sepanjang musim ini,” jelas Kirah.
Pada musim-musim sebelumnya, Kirah beraksi menggunakan Kawasaki Ninja 400, namun perubahan peraturan menyaksikan semua pelumba kini akan menggunakan Yamaha R7, menjadikannya motosikal dengan kapasiti enjin paling besar yang pernah digunakan Kirah dalam perlumbaan. Perkara itu pastinya memberikan cabaran baharu buatnya, namun dalam masa yang sama membuka peluang untuk terus berkembang sebagai pelumba.
Kirah berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat dengan jentera baharu tersebut serta terus meningkatkan prestasi dan menimba lebih banyak pengalaman sepanjang musim ini. Beliau juga menganggap perubahan ini sebagai satu langkah besar dalam perjalanan kariernya. Sebagai persediaan menghadapi musim baharu, Kirah telah menjalani latihan dari segi fizikal dan mental bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia sebelum musim bermula. Walaupun begitu, Kirah mengakui tetap ada sedikit rasa berdebar kerana perlu menyesuaikan diri dengan pasukan baharu dan juga motosikal baharu, namun beliau optimis pengalaman bersama Sommariva Corse akan memberikan banyak pembelajaran sepanjang musim 2026.
