DUN Chennah kritikal tentukan mandat kerajaan negeri - Anthony

LocalPolitics
18 Jul 2026 • 12:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DUN Chennah kritikal tentukan mandat kerajaan negeri - Anthony
Anthony (dua, kiri) ketika sidang media selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Kuala Klawang Jelebu. Foto Bernama
Image from: DUN Chennah kritikal tentukan mandat kerajaan negeri - Anthony
Anthony (kanan) bersama pencabarnya, Siow Kong Choon mewakili Barisan Nasional menunjukkan nombor giliran pada proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Kuala Klawang Jelebu, Sabtu. Foto Bernama

JELEBU - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah disifatkan sebagai antara empat kerusi di Parlimen Jelebu paling kritikal bagi Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata penyandangnya, Anthony Loke.

Anthony yang merupakan Setiausaha Agung DAP dan juga Menteri Pengangkutan berkata, walaupun berdepan pertandingan satu lawan satu, PH yakin mampu mempertahankan kerusi itu berdasarkan rekod perkhidmatan dan pembangunan yang dibawa sepanjang dua penggal mentadbir negeri.

"Kerajaan yang ditubuhkan oleh Pakatan Harapan sejak 2018 telah membuktikan bahawa kita mampu membawa kemajuan dan kestabilan kepada negeri.

"Kita harap mendapat mandat daripada rakyat untuk membentuk semula kerajaan negeri, dan kerusi-kerusi di Parlimen Jelebu ini amat kritikal kerana pada 2018, dua kerusi di sini iaitu Chenah dan Kelawang menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini, Sabtu.

**media[3586280]**

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Jelebu, Abdul Rahim A Aziz mengumumkan DUN Chennah menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Anthony dengan calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon. 

Mengulas peluang mempertahankan DUN Chennah yang merupakan kerusi campuran susulan keputusan PRN Johor baru-baru ini yang menyaksikan DAP tewas di beberapa kerusi separa bandar, Anthony berkata, setiap pilihan raya mempunyai dinamik tersendiri.

"Chennah sentiasa menjadi kerusi 50-50 kerana tiada satu kaum pun membentuk majoriti. Untuk menang, kita perlu mendapat sokongan merentasi semua kaum.

"Bezanya kali ini, kita bertanding sebagai kerajaan penyandang yang telah berkhidmat selama dua penggal dan membawa pembangunan kepada kawasan ini. Saya berharap dapat mengekalkan sokongan pengundi Cina, Melayu dan Orang Asli," katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, proses penamaan calon berjalan lancar bagi empat DUN di bawah Parlimen Jelebu dengan calon PH di Pertang, Sungai Lui dan Kelawang berdepan saingan tiga penjuru manakala Chenah yang diwakilinya menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Katanya, situasi itu sememangnya telah dijangkakan dan PH kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kempen bagi mempertahankan sokongan pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian pada 1 Ogos. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved