DUN Johor bertafakur beri penghormatan kepada adik Nur Aini Umairah

LocalPolitics
6 May 2026 • 11:09 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DUN Johor bertafakur beri penghormatan kepada adik Nur Aini Umairah
DUN Johor bertafakur seketika pada Rabu, bagi nemberi penghormatan kepada Nur Aini Umairah yang maut dalam kemalangan di hadapan sekolahnya pada Selasa.

ISKANDAR PUTERI - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bertafakur seketika bagi nemberi penghormatan kepada Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, yang maut dilanggar di depan pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat pada Selasa.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam membacakan al-Fatihah manakala yang bukan Islam bertafakur sebelum beliau menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pagi Rabu.

Sebelum itu, ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli bertanya mengenai garis panduan keselamatan di kawasan sekolah susulan kejadian murid Tahun Dua SK Parit Maimon maut dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan sekolah berkenaan.

Aznan (BN- Tanjung Surat) berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sentiasa memberikan penekanan yang serius terhadap aspek keselamatan murid termasuk pengurusan aliran trafik di kawasan sekolah.

"Pelaksanaan ini adalah selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (29 April 2022) yang menetapkan keperluan pengurusan pergerakan murid secara terancang, termasuk kawalan pintu masuk dan keluar serta penyusunan aliran trafik bagi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin.

"Selain itu, surat pekeliling ikhtisas Bil.8/1999, keselamatan diri murid dalam perjalanan pergi dan balik sekolah turut menekankan kepentingan keselamatan murid sepanjang perjalanan ke dan dari sekolah, termasuk keperluan pemantauan di kawasan pintu pagar sekolah, pengurusan tempat menunggu yang selamat serta kawalan terhadap kenderaan yang keluar masuk ke kawasan sekolah," katanya.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari Selasa, Nur Aini Umairah meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar van yang baru keluar dari sekolah selepas menghantar barang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pemandu van berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

View Original Article