BATU PAHAT - Perjalanan seorang ibu menjemput anak pulang dari sekolah biasanya rutin biasa, penuh rasa lega dan kasih.
Namun bagi Asmilah Tukiran, 37, detik tengah hari itu bertukar menjadi mimpi ngeri yang sukar dipadam daripada ingatan.
“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri," kongsinya.
Luahan pilu itu menggambarkan saat hatinya luruh apabila kehilangan anak tersayang, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, yang maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat.
Menurut Asmilah, kelewatan singkat itu berpunca daripada tanggungjawabnya menguruskan anak bongsu, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, yang baru pulang dari prasekolah sekitar jam 12.30 tengah hari.
Seperti kebiasaan, dia terlebih dahulu memandikan dan menukar pakaian si kecil sebelum keluar semula untuk menjemput anak keduanya kira-kira 10 minit kemudian.
Namun sebaik tiba di hadapan sekolah, suasana yang dilihat bukan lagi seperti hari-hari biasa.
“Apabila tiba di hadapan pintu pagar sekolah, saya nampak orang ramai berkerumun. Ketika itu, hati saya tertanya-tanya siapa yang dikerumuni itu.
“Saya terdengar ada murid lain bercakap dan menyebut nama ‘Aini’. Saya terus berjumpa guru untuk bertanya siapa yang sedang terbaring kaku itu.
“Apabila cikgu memberitahu murid itu adalah anak saya sendiri, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazah kerana keadaannya sangat parah,” katanya dalam nada sebak.
Tambahnya lagi, sebelum ini beliau tidak pernah lupa mengingatkan arwah supaya menunggunya di dalam kawasan pagar sekolah setiap kali tamat sesi persekolahan.
“Biasanya apabila saya sudah tiba, barulah Nur Aini Umairah keluar dari pagar sekolah.
“Namun ketika kejadian, saya tidak tahu kenapa anak berada di luar pagar... mungkin dia mahu membeli sesuatu,” katanya lagi.
Luka lama Lebih meruntun jiwa, tragedi tersebut bukanlah kehilangan pertama yang perlu ditanggung wanita itu.
Asmilah mengakui dirinya masih dalam proses memulihkan luka lama apabila sekali lagi diuji dengan pemergian insan tersayang.
“Kesedihan pada Januari tahun lalu masih belum terubat. Ibu saya, Allahyarhamah Saonah Kasmi, 58, meninggal dunia dua jam selepas nenek, Allahyarhamah Bayah Sadiran, 84, menghembuskan nafas terakhir.
“Ketika itu, ibu datang menziarahi jenazah nenek pada jam 6.45 petang, sebelum dia menyusul kira-kira dua jam kemudian.
“Bayangkan, dua insan tersayang pergi dalam masa dua jam... dan hari ini, saya sekali lagi diuji.
“Inilah dugaan yang saya sedang lalui. Namun, saya perlu menguatkan diri agar anak dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” ujarnya. - Sinarplus






