
KOTA BHARU: projek Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa semata-mata untuk mengejar tarikh siap, sebaliknya memilih pendekatan lebih berhati-hati.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia bagi memastikan hab pengangkutan itu tidak berdepan risiko terbengkalai atau menjadi projek ‘gajah putih’.
Katanya, kelewatan pelaksanaan projek itu berpunca daripada penelitian kerajaan dalam memilih kontraktor yang benar-benar berkemampuan dari segi kewangan dan kepakaran.
“Kerajaan negeri tidak mahu mengulangi masalah yang boleh menyebabkan projek tergendala sekiranya kontraktor berdepan masalah kewangan atau gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kerajaan negeri berhati-hati. Sebab apa jadi lama? Kerana berhati-hatilah. Kalau kontraktor tidak cukup kompeten, kontraktor tidak cukup duit, kita tidak akan buat.
“Nanti kita tanggung seperti syarikat bankrap dan sebagainya, nanti lagi lama. Kita pilih yang terbaik. Lambat tidak apa, asal jadi molek,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim (Galas-BN) semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.
Dr. Izani berkata, projek KB Sentral dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu kerja-kerja tanah dan pembinaan terminal.
Katanya, kerja penambakan dan penstabilan tanah yang melibatkan kos RM14 juta dijadual siap pada Mei 2025 dengan kemajuan semasa mencapai 40.7 peratus.
“Dalam hubungan ini, fasa ini fasa tambak. Pembinaan terminal pula dimulakan seawal Jun 2025. Kerajaan negeri sedang meneliti pelbagai kaedah bagi mengurangkan kos pembinaan termasuk membuka ruang kepada syarikat swasta untuk mengemukakan cadangan menerusi model bina, kendali dan pindah milik (BOT),” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, kerajaan sedang mengumpulkan cadangan dan reka bentuk daripada syarikat yang berminat bagi menentukan model pembangunan terbaik untuk projek berkenaan.
“Kalau ada syarikat yang boleh masuk dalam bentuk BOT, kita akan tengok. Kita cuba cari kaedah yang paling boleh menyelamatkan kewangan Kerajaan Negeri. Kalau akhirnya tidak ada juga, jawabnya duit kitalah,” katanya.
Mengenai reka bentuk terminal, Dr. Izani berkata, perkara itu masih berada pada peringkat penilaian dan dimuktamadkan dalam fasa kedua pembangunan projek tersebut.
Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan kerja-kerja pembinaan KB Sentral di Tunjong sebelum ini bermula tahun ini.
Utusan Malaysia pada 12 Mac 2023 lalu melaporkan, pembinaan projek (KB Sentral bernilai RM64 juta di Mukim Pendek akan dimulakan dalam tempoh terdekat. – UTUSAN
The post DUN Kelantan: Tidak mahu kejar tarikh KB Sentral siap elak terbengkalai appeared first on Utusan Malaysia.





