DUN Melaka bubar: Pentadbiran teruskan urusan rakyat – Ab Rauf

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 5:05 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

DUN Melaka bubar: Pentadbiran teruskan urusan rakyat – Ab Rauf

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak menjejaskan urusan rakyat apabila pentadbiran negeri akan terus memastikan perkhidmatan awam, kebajikan dan keselamatan berjalan sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kesinambungan pentadbiran akan dipastikan dengan kerjasama Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (EXCO), ketua jabatan dan agensi kerajaan.

“Saya nak beritahu pentadbiran ini akan diteruskan dan saya amat menghargai keberadaan semua Ahli EXCO dan semua jabatan serta agensi kerajaan yang sudah memberikan kerjasama sepanjang perkhidmatan kami kepada rakyat,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Terdahulu, Ab Rauf mengumumkan pembubaran DUN Melaka ke-15 di Auditorium Seri Negeri, Air Keroh, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Ab Rauf berkata pembubaran DUN berkuat kuasa esok, sekali gus menandakan berakhirnya penggal DUN Melaka sebelum proses seterusnya dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa berkaitan.

“Dengan pembubaran ini esok, maka berakhirlah penggal DUN Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.

Beliau pada masa sama memberi jaminan bahawa pembubaran DUN tidak bermakna urusan kerajaan negeri terhenti.

Sebaliknya, katanya, penyampaian perkhidmatan negeri, perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan akan terus berjalan seperti biasa sehingga kerajaan baharu dibentuk.

“Saya ingin memberi satu jaminan jelas kepada seluruh rakyat Melaka pembubaran DUN tidak bermakna urusan Kerajaan Negeri terhenti, (sebaliknya) pentadbiran penyampaian negeri, perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan akan terus berjalan seperti biasa,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved