
AYER KEROH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Rabu kecoh selepas wakil pembangkang membangkitkan dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mempunyai hubungan dengan isteri orang seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Isu berkenaan dibangkitkan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dari Perikatan Nasional (PN) mencetuskan pertikaman lidah antara ADUN-ADUN.
Kekecohan bermula apabila Muhammad Jailani merujuk kepada satu laporan polis dibuat seorang lelaki yang mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan seorang ADUN kerajaan.
Tindakan itu mendapat reaksi segera daripada ADUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang membidas kenyataan tersebut kerana dianggap tidak berkaitan kepentingan rakyat.
**media[3367408]**
“Sepatutnya bangkitkan isu rakyat di Rembia, bukan perkara tidak masuk akal seperti ini.
"Kalau nak bangkitkan sesuatu isu, biarlah perkara yang rakyat nak dengar, bukannya isu remeh menyentuh peribadi orang lain,” katanya.
ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halim turut mencelah dengan memaklumkan bahawa wanita terbabit telah membuat laporan polis menafikan dakwaan skandal tersebut, selain kes itu sedang berada dalam proses mahkamah.
**media[3367409]**
“Rembia (Muhammad Jailani) melanggar Peraturan Mesyuarat 20(1)(g) yang melarang ahli dewan menyebut perkara yang sudah dibawa ke mahkamah, serta melanggar Peraturan Mesyuarat 20(1)(m)(1) kerana membuat sangkaan jahat terhadap ahli dewan lain.
“Kalau nak bawa sesuatu isu, biarlah berfakta, bukan sesuka hati,” katanya.
Beberapa ADUN blok kerajaan turut bangun menempelak Muhammad Jailani, termasuk Datuk Rais Yasin (BN-Paya Rumput), Datuk Abd Razak Abd Rahman (BN-Telok Mas), Datuk Khaidirah Abu Zahar (BN-Rim), Datuk VP Shanmugam (BN-Gadek), Datuk Ngwe Hee Sem (BN-Machap Jaya) dan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam).
Terdahulu, Timbalan Speaker, Kerk Chee Yee, mengemukakan Peraturan Mesyuarat 20(1)(m)(1) terhadap Muhammad Jailani atas kesalahan membuat sangkaan jahat dan serangan peribadi terhadap seorang ahli dewan.
Beliau kemudian membuat keputusan menghentikan ucapan Muhammad Jailani serta-merta sebelum diteruskan dengan ucapan penangguhan oleh ADUN Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis.

