DUN Negeri Sembilan bubar secara rasmi esok

LocalPolitics
4 Jun 2026 • 11:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DUN Negeri Sembilan bubar secara rasmi esok
Aminuddin mengadakan sidang media tergempar di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada Khamis malam.

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa pada Jumaat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas menghadap baginda di Istana Hinggap pada jam 8.30 malam Khamis.

Menurut beliau, pembubaran tersebut turut mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

"Alhamdulillah hari ini jam 8.30 malam, saya telah mengadap YDPB dan Tuanku telah perkenan untuk membubarkan DUN bermula pada esok (Jumaat).

"Pembubaran ini mengikut dan mematuhi peraturan UUTKNS dan selepas ini pilihan raya, kita akan menghantar notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar.

Beliau juga memaklumkan bahawa tarikh pembubaran tersebut turut mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama Aminuddin menafikan keputusan pembubaran berkenaan dibuat secara mengejut, namun percaya ia dapat menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri itu.

"Kita lihat kemelut yang berlaku mula-mula dia (ADUN UMNO) kata tarik, tak sokong saya, tarik dari kerajaan dan lepas itu kita nampak ia tak sesuai dalam sebuah kerajaan, perlu mandat baharu daripada rakyat.

"Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan masa depan Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa soal pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah pun selesai dan mereka membuat keputusan untuk bertanding di kesemua 36 kerusi DUN.

Bagaimanapun, beliau enggan berkongsi lanjut berkenaan jumlah kerusi setiap parti yang telah diputuskan.

"Pembahagian kerusi selesai bersama dengan gabungan PH, kita akan bertanding 36 DUN seluruh Negeri Sembilan.

"Kita akan putuskan minggu depan, ia dah siap pun tapi saya rasa elok minggu depan diumumkan. Parti Amanah Negara (Amanah) setuju, DAP setuju, kita Parti Keadilan Rakyat (PKR)menyokong," katanya.

 

View Original Article