DUN Negeri Sembilan Bubar Secara Rasmi Hari Ini, Mandat 5 Tahun Lengkap

Politics
1 Jul 2023 • 12:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir meneliti dokumen sebelum menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di Istana Hinggap, pada 28 Jun lalu. - Gambar Bernama

SEREMBAN - Negeri Sembilan menjadi negeri terakhir secara rasminya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, melengkapkan kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijadual berlangsung tidak lama lagi.

Pengarah SPR negeri, Mohd Heikal Kamarudin menerima watikah pembubaran itu pada Rabu, yang diserahkan oleh Setiausaha DUN Negeri Sembilan Mohd Amin Ludin bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Bermula hari ini, negeri Adat Perpatih itu ditadbir oleh kerajaan negeri sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN.

Negeri Sembilan juga menjadi satu-satunya negeri memanfaatkan sepenuhnya tempoh mandat lima tahun bagi penggal ke-14 sebelum DUN dibubarkan secara rasmi, hari ini. Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN pada 22 Jun, diikuti Selangor 23 Jun, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu (28 Jun).

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang pertama diadakan pada 1 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan itu selaras dengan perkenan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Pada PRU14, Negeri Sembilan memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga).

Barisan Nasional (BN) pula memenangi 16 kerusi  iaitu UMNO (15) dan MIC satu kerusi. 

Sepanjang penggal itu, satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan iaitu DUN Rantau berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap keputusan petisyen pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun 2018, yang mengisytiharkan kemenangannya bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.

Timbalan Presiden UMNO itu bagaimanapun berjaya mempertahankan semula kerusi berkenaan dengan kemenangan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon PH Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin pada PRK Rantau pada 13 April 2019.

Pada PRN kali ini, buat pertama kalinya bakal menyaksikan kekuatan PH dan BN disepadukan bagi mempertahankan negeri ini. - Bernama