IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pengurusan sumber hutan di negeri ini.
RUU berkenaan dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Pindaan tersebut melibatkan penambahbaikan terhadap beberapa seksyen sedia ada di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) selaras dengan keperluan semasa bagi menangani isu pencerobohan hutan dan pengambilan hasil hutan secara haram.
Menurut Saarani, fokus utama pindaan adalah memperkukuh penguatkuasaan melalui peningkatan kadar denda dan hukuman, selain menambah baik mekanisme tindakan undang-undang sehingga ke peringkat kompaun serta pendakwaan di mahkamah.
Katanya, pindaan turut memberi kuasa kepada pegawai perhutanan Persekutuan untuk membantu dalam siasatan dan operasi penguatkuasaan dengan kebenaran pihak berkuasa negeri.
Selain itu, klasifikasi Hutan Simpanan Kekal (HSK) diperluaskan dengan memperkenalkan kategori baharu iaitu hutan taman negeri bagi memperkukuh pengurusan kawasan hutan.
“Pindaan ini juga merangkumi penambahbaikan dalam pengurusan lesen dan permit termasuk aspek syarat, tempoh sah serta pelucutan deposit,” katanya.
**media[3498868]**
Tambah beliau, aspek kewangan dan royalti turut diperkemas termasuk penggunaan lebih meluas Kumpulan Wang Pembangunan Hutan bagi menyokong usaha pemuliharaan.
"Beberapa kesalahan baharu turut diperkenalkan seperti menghalang kerja penguatkuasaan, memberikan kenyataan palsu dan persubahatan seperti menjalankan oeprasi sekatan jalan raya," katanya.
Saarani turut memaklumkan kepada Sidang Dewan, dari tahun 2023 sehingga 2025, negeri ini merekodkan 127 kes kesalahan hutan termasuk 28 kes pembalakan haram dengan 228 individu ditahan bagi membantu siasatan.
Ujarnya, daripada jumlah tersebut, tujuh kes telah berjaya didakwa di mahkamah untuk tindakan lanjut.
"Sepanjang tempoh sama, kompaun dan gantirugi berjumlah RM1.16 juta telah dikeluarkan, manakala denda sebanyak RM146,000 turut dikenakan.
"Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memastikan pengurusan hutan dilaksanakan secara tegas, berintegriti dan berkesan," katanya.

