Sidang DUN Perak: Tiada perubahan tempat duduk ADUN

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 12:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohammad Zahir (tengah) ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

IPOH – Tiada sebarang perubahan kedudukan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 yang akan berlangsung bermula 14 hingga 21 April ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menukar tempat duduk ADUN.

Menurutnya, susunan sedia ada akan dikekalkan seperti biasa melainkan terdapat permohonan rasmi yang dikemukakan kepada Pejabat Speaker.

"Setakat ini tak ada permohonan untuk perubahan tempat duduk dan saya pun tidak menerima apa-apa permohonan.

"Jadi kita kekalkan seperti biasa,” katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Mohammad Zahir berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menolak kemungkinan perubahan boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat permohonan namun ia bergantung kepada kesesuaian serta kekangan teknikal di dalam Dewan.

Katanya, perubahan saat akhir agak sukar dilaksanakan berikutan melibatkan sistem mikrofon dan rakaman video yang telah ditetapkan mengikut susunan tempat duduk.

"Kalau ada permohonan, kita akan pertimbangkan. Tetapi jika dibuat pada saat akhir, ia agak sukar kerana melibatkan sistem yang sensitif dan telah digunakan sejak sekian lama," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohammad Zahir memaklumkan persidangan DUN Perak kali ini akan berlangsung selama enam hari bermula 14 April dan akan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, sepanjang persidangan itu, sesi soalan lisan akan diadakan selama satu jam setiap hari selain pembentangan usul menjunjung kasih atas titah diraja serta perbahasan melibatkan semua ADUN.

Tambah beliau, beberapa usul turut akan dibawa termasuk cadangan pindaan Perintah Tetap Dewan Negeri serta penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas melibatkan empat fokus utama iaitu masyarakat menua, kemiskinan bandar, bandar pintar dan sekuriti makanan.

Menurutnya, selain itu Rang Undang-Undang Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian 2026) juga dijadual dibentangkan pada hari terakhir persidangan.

Sebelum ini, media melaporkan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antara 17 pimpinan Bersatu Perak yang dipecat Lembaga Disiplin parti itu kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Antara wakil rakyat dari Perak yang turut dipecat ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Pada 19 April tahun lalu Perikatan Nasional (PN) Perak menghantar surat kepada Pejabat Speaker DUN bagi menukar tempat duduk dua ADUN daripada Bersatu.

Perubahan tersebut dicadangkan di antara Zainol Fadzi dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Bagaimanapun perubahan tersebut tidak seperti yang diharapkan oleh PN Perak apabila hanya tempat duduk Nadziruddin ditukar seperti diminta manakala Zainol Fadzi kekal.