Dun Sabah bubar untuk beri laluan kepada PRN17

LocalPolitics
7 Oct 2025 • 10:06 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke-16 dibubarkan secara rasmi pada Isnin, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman pada sebelah pagi bagi memohon pembubaran DUN berkenaan.

“Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin, 6 Oktober 2025. Ini membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, sekali gus memberi kuasa kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan hak demokrasi mereka dalam menentukan siapa yang akan mentadbir negeri ini,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu, petang Isnin.

Hajiji berkata keputusan itu mencerminkan komitmen kukuh kerajaan terhadap amalan demokrasi dan proses perlembagaan.

“Sepanjang lima tahun yang lalu, kami telah berusaha tanpa mengenal penat lelah untuk membawa perubahan dan kemajuan yang bermakna kepada negeri ini serta rakyatnya,” katanya, menambah kerajaan telah memacu transformasi Sabah menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menyeluruh dan inklusif sejak mengambil alih pentadbiran pada September 2020.

Menurutnya, kerangka Hala Tuju SMJ yang berteraskan tiga tonggak utama — Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Pembangunan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau — telah menghasilkan pencapaian nyata di seluruh negeri. Beliau berkata pentadbirannya telah mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu-isu legasi yang berlarutan, khususnya berkaitan bekalan air, elektrik dan infrastruktur kritikal.

“Tindakan konkrit dan projek utama sedang dijalankan bagi menyelesaikan cabaran legasi yang telah membebankan rakyat terlalu lama.

“Sebahagian inisiatif telah siap dilaksanakan, manakala yang lain sedang berjalan dengan lancar ke arah penyelesaian,” katanya.

Sepanjang penggal ini, Hajiji berkata ekonomi Sabah semakin kukuh, pelaburan baharu berjaya diperoleh untuk mewujudkan peluang pekerjaan, manakala pendidikan serta kesejahteraan sosial turut dipertingkatkan di seluruh negeri.

“Pencapaian ini menjadi kenyataan kerana kepercayaan, sokongan dan perkongsian visi rakyat terhadap sebuah Sabah yang lebih baik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa meskipun banyak kemajuan telah dicapai, kerja-kerja pembangunan masih jauh daripada selesai.

“Cabaran baharu memerlukan penyelesaian yang berani, dan kami bersedia untuk memimpin Sabah ke fasa seterusnya. Ketika penggal ini berakhir, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan kemajuan yang telah dimulakan — membina Sabah yang lebih kukuh, makmur dan bersatu untuk semua,” katanya.

Hajiji menyatakan harapan agar keputusan pilihan raya yang bakal diadakan nanti akan memperkukuh suara rakyat, memelihara kestabilan dan keselamatan, serta memastikan kemajuan negeri terus berkekalan.

“Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan keyakinan dan tekad,” katanya.